Wanita kirim 400 barang COD, berang bakal suami batal nikah lepas ragut kesucian

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita bakal berdepan dengan hukuman penjara hanya kerana memesan barang menerusi kaedah penghantaran tunai (COD).

Bertujuan untuk membalas dendam, wanita berkenaan mengakui telah membeli 400 barang secara COD sebelum mengirimkannya ke alamat kediaman bekas tunangnya.

Tidak cukup dengan itu, wanita berusia 21 tahun tersebut turut melakukan kira-kira 200 tempahan palsu melibatkan perkhidmatan kenderaan e-hailing ke alamat sama.

Kejadian bermula apabila bekas tunangnya yang juga mangsa bertindak memungkiri janji untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka pada bulan Oktober, tahun lalu.

Keputusan mangsa yang turut membatalkan majlis tanpa sebarang perbincangan itu juga telah menyebabkan wanita berkenaan menyimpan rasa dendam terhadapnya.

Suspek merasakan pembatalan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan mereka berdua telah pun melakukan hubungan intim sebelum ini, lapor Detik.com.

“Kerana saya dendam dan sakit hati, muncul idea untuk pesan barang dan e-hailing atas nama bekas tunang. Keluarga saya dan keluarganya rapat malah sudah pernah mengunjungi antara satu sama lain.

“Dia berjanji untuk menikahi saya pada bulan Oktober 2023. Tetapi dia mengingkari janji dan membatalkan majlis secara sebelah pihak. Perkara ini berlaku bukan cuma sebab dia batalkan pernikahan.

“Saya juga sakit hati dengan Syahrul (mangsa) sebab dia merampas kesucian saya. Ketika itu, saya sedang sakit. Tetapi Syahrul tetap paksa melayani nafsunya. Kalau saya tolak, dia akan mengamuk,” akui suspek memetik laporan Detik.com.

Perbuatan itu dilakukan suspek pada September 2023 hingga Januari 2024 lalu di Cepiring, daerah Kendal di Jawa Tengah, Indonesia sebelum berjaya ditangkap polis.

Kes terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis kerana sering menerima kiriman COD yang tidak dipesan namun didaftarkan dengan nombor kad pengenalannya.

Suspek yang merupakan wanita asal Semarang, Indonesia itu mengaku menyesali perbuatannya dan memohon maaf di hadapan anggota polis dan para petugas media.

Akibat perbuatannya, suspek berdepan dengan hukuman penjara selama 12 tahun atau denda maksimum sebanyak 12 miliar rupiah bersamaan RM3,603,589,554.00.

Baca juga: “Aku pernah ‘disentuh’ abang hingga trauma nak bersuami, abang aku? Semua kahwin dengan ustazah…”