Wanita maut ditikam rakan lelaki di parkir restoran, sempat makan ‘lunch’ bersama

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan di Jalan Sungai Nibong 5 yang terletak di Kapar, Selangor pada petang kelmarin.

Mangsa difahamkan sempat makan tengah hari di restoran di Jalan Bayu Tinggi 5 bersama rakannya sebelum ditikam lelaki terbabit di kawasan parkir premis tersebut.

Wanita yang berlumuran darah itu kemudian dimasukkan ke dalam kereta sebelum suspek bertindak memandu pulang ke rumahnya iaitu di lokasi mangsa ditemukan.

Sebaik sahaja menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, suspek yang berusia 44 tahun itu membuat keputusan untuk menikam badannya sendiri sebelum dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fon berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian tikaman tersebut.

Menurut Hoong Fong, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pada pukul 1.20 tengah hari ketika mangsa yang berusia 26 tahun itu berjumpa dengan suspek di restoran.

Selepas selesai makan tengah hari bersama, suspek menikam mangsa berkali-kali ketika berada berdekatan dengan kenderaan di kawasan parkir, lapor Berita Harian.

“Suspek ditahan jam 4.20 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sebelum pemeriksaan lanjut menemukan wanita berkenaan tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” kata Hoong Fong memetik laporan Berita Harian.

Sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk membunuh kenalan wanitanya itu telah ditemukan, namun pihak polis masih lagi menyiasat punca sebenar kejadian.

Hoong Fon turut memaklumkan, bedah siasat yang telah dijalankan ke atas mangsa menemukan banyak kesan tikaman pada bahagian depan dan juga belakang badan.

Katanya, punca kematian mangsa adalah disebabkan kesan tikaman yang tembus ke jantung dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Aina Abdul menangis imbau kenangan jadi penyanyi kelab malam, “saya hijabis nyanyi di tempat sajikan alkohol”