Malaysia Dateline

Wanita MCA juga marah kepada Tim Menteri Komunikasi

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM) sepatutnya malu apabila dengan berani mendakwa bahawa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, tidak mengambil apa-apa peperiksaan sebagaimana video yang tular beberapa bulan lalu.

Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamelo Yong berkata, sama ada pelajar itu sedang mengambil peperiksaan atau tidak, itu bukanlah permasalahan utama.

Menurutnya, apa yang memalukan apabila Timbalan Menteri itu sendiri tidak dapat melihat tujuan sebenar yang ingin ditekankan betapa lemahnya infrastruktur digital dan rangkaian capaian internet di Sabah.

Beliau menegaskan, biarpun aduan tersebut ditulis di atas kertas tandas sekalipun, ianya tetap menjadi tugas dan tanggungjawab Menteri berkenaan untuk menyiasat dan memperbaikinya.

“YBTM, adakah kerajaan akan mengambil tindakan sekiranya Veveonah masuk ke mana-mana syarikat perkhidmatan internet untuk mengadu?

“Adakah aduan yang diajukan itu sampai di pejabat anda di Kementerian Komunikasi dan Multimedia?

“Mungkinkah sampai di mata mereka yang membuat keputusan di SKMM, memacu tindakan untuk merancang menara telekomunikasi di Kampung Bilangau Kecil, Pitas, seperti yang dilakukan oleh Veveonah?,” soalnya bertalu-talu.

Terdahulu, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Veveonah hanya memuatnaik video berkenaan hanya sebagai hiburan untuk menaikkan rating tontonan video dan untuk mendapatkan nama.

Beliau bagaimanapun kemudiannya mengaku silap dan memohon maaf kerana mendakwa telah menerima maklumat yang salah.

Sementara itu, Pamelo turut menyarankan agar Zahidi pergi turun ke padang melawat kampung Sepatalang dan menghabiskan beberapa harinya, bahkan mungkin boleh pergi memanjat pokok seperti yang dilakukan Veveonah.

Sindirnya, dengan itu boleh benar-benar menyelami masalah yang cuba diketengahkan pelajar tersebut.

Ini kerana katanya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masih banyak kawasan di Sabah yang mengalami kegagalan mendapatkan rangkaian internet.

“Turun Padang, kemudian YBTM boleh beritahu kami bahawa keadaan di Sabah semuanya baik dengan rangkaian Internet dan bukan hanya dengan kelajuan 3G tetapi 4G dan LTE,” katanya lagi.