Wanita menyesal beli kereta sambung bayar, Saga FLX lesap dirembat pemilik ‘sah’

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit selepas membeli sebuah kereta jenis Saga FLX menggunakan kaedah ‘sambung bayar’.

Difahamkan, kereta itu telah dibayar secara bulanan oleh wanita berkenaan selama satu tahun sebelum kenderaan tersebut lesap dipercayai dibawa lari oleh pemilik asalnya.

Lebih memburukkan keadaan, pemilik ‘sah’ kereta jenis Saga FLX itu juga tergamak mengambil kenderaan tersebut tanpa memulangkan deposit yang telah dibayar oleh wanita berkenaan.

“Saya adalah pembeli kereta sambung bayar jenis Saga FLX. Kisahnya agak sedih, tetapi saya reda dan serahkan kepada Allah. Ujian suami isteri. Malam tadi, pemilik bawa lari kereta tanpa pengetahuan saya dan suami.

“Kami tengok-tengok, kereta sudah hilang. Padahal kereta tak pernah ada sebarang tunggakan. Sudah setahun saya pakai dan bayar secara bulanan. Malah duit deposit RM3,500 juga dia bawa lari, tak pulangkan semula.

“Tahu-tahu semua sudah lenyap. Alhamdulillah, kami masih ada motosikal jenis Kriss milik suami. Cuma kami tiada kereta sahaja. Doakan kami supaya dapat beli kereta secara tunai satu hari nanti,” katanya.

Perkongsian tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook, Garage Saga BLM/FL/FLX/SE/SV/VVT.

Dalam hantaran sama, wanita terbabit turut mendedahkan gambar pemilik Saga FLX berkenaan bersama geran dan nombor pendaftaran kenderaan agar tiada lagi yang menjadi mangsa.

“Saya muat naik gambar kereta, pemilik, nombor plat dan juga geran kenderaan di sini. Kerana saya tahu, dia akan jual pula kereta itu atau sewakan kepada orang lain. Sebabnya pemilik itu ada buat perniagaan kereta sewa.

“Alamat di dalam geran itu adalah alamat yang sah dan masih diduduki oleh pemilik Saga FLX terbabit. Terima kasih semua atas pendapat, nasihat dan doa yang baik untuk saya.

“Insya-Allah, semua ini jadi sebagai pengajaran untuk diri saya sendiri.” Kesal wanita itu dalam hantaran yang kini dibanjiri oleh pengguna Facebook dengan kiriman doa dan nasihat agar tidak lagi membuat pembelian secara sambung bayar.

Sekadar info, antara punca aktiviti sambung bayar adalah pembeli tidak mampu membayar ansuran bulanan, penyambung bayar dalam senarai hitam institusi kewangan, penyambung bayar tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang banyak selain proses pembelian kenderaan yang mudah.

Walau bagaimanapun, kaedah tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 meskipun penjual sudah menyediakan surat perjanjian selain berisiko besar kepada pemilik kenderaan asal dan pembeli baharu.

Bukan sahaja tidak dilindungi undang-undang, pembeli juga boleh terdedah kepada penipuan malah tiada jaminan akan menjadi hak milik kerana pemilik asal boleh menuntut semula kenderaan tersebut pada bila-bila masa.

Baca juga: Inti ayam tak seberapa, wanita kecewa kedai jual ‘chicken wrap’ dah tak jaga kualiti lepas popular