Malaysia Dateline

Wanita Muda AMANAH seru parti komponen PH tidak terpedaya

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional menyeru agar parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak terpedaya dengan usaha pihak pembangkang dalam memecah-belahkan kerajaan.

Pengarah Komunikasinya, Fatihah Salahuddin berkata, mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU 14 harus dihormati dan sebarang keputusan hendaklah dibuat dengan cermat.

“Percubaan pihak pembangkang melaga-lagakan antara parti-parti komponen di dalam PH bukan suatu tindakan yang menghairankan.

“Tindakan BN melaga-lagakan parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah berjaya dilakukan dengan terbubarnya Pakatan Rakyat pada 16 Jun 2015.

“Kemenangan yang diraih oleh PH digugat dengan timbulnya cubaan pihak pembangkang untuk menyertai kerajaan menggunakan pintu belakang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Fatihah berkata, WARDA Nasional yakin AMANAH akan sentiasa bertindak sebagai penyatu kepada Pakatan Harapan.

“Wanita Muda AMANAH mengharapkan agar Majlis Mesyuarat Presiden PH yang akan berlangsung esok dapat meleraikan isu peralihan kuasa dengan aman dan bersatu hati,” tambahnya lagi.

Esok Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat dengan difahamkan turut membincangkan isu berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mempengerusikan mesyuarat itu memberitahu media kelmarin, beliau tidak akan membangkitkan isu peralihan tersebut.

Dr Mahathir sebelum ini sudah mengulangi janjinya bahawa beliau akan meletakkan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November depan.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu dilapor berkata, beliau cenderung agar Dr Mahathir menerajui negara sehingga selesai sidang kemuncak tersebut.