Malaysia Dateline

Tahap umur perkahwinan disaran ditingkat ke 18 tahun

Wanita Pakatan Harapan cadang umur berkahwin ditingkat ke 18 tahun

Wanita Pakatan Harapan menyarankan usia minimum perkahwinan bagi lelaki dan perempuan ditingkatkan kepada 18 tahun dalam usaha menghapuskan perkahwinan bawah umur.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching katanya, kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun tidak bersedia daripada segi emosi, mental dan ekonomi untuk menggalas tanggung jawab perkahwinan.

Apatah lagi, katanya, perkahwinan bawah umur bukan sahaja memberikan kesan negatif terhadap fizikal dan kesihatan mental kanak-kanak malah menjejaskan peluang mereka dari segi ekonomi dan pendidikan, selain terdedah kepada keganasan domestik dan seksual.

“Perkahwinan bawah umur bukanlah penyelesaian untuk masalah sosial remaja, dalam kes tertentu, kanak-kanak dihukum dua kali apabila terpaksa mengahwini perogolnya dan dinafikan hak pendidikan, mobiliti sosial dan ekonomi.

“Pengantin kanak-kanak terdedah kepada penganiayaan dan terdapat juga beberapa kes di mana perkahwinan bawah umur berakhir dengan penceraian dalam tempoh masa yang singkat, meninggalkan mereka dengan anak yang masih bayi,” ujarnya.

Malah, lebih buruk lagi Malaysia mempunyai kadar pendakwaan terendah dalam kes melibatkan penganiayaan seksual kanak-kanak sehingga menyebabkan pelaku jenayah berkenaan tidak takut dihukum atas kesalahan terbabit.

Perkahwinan bawah umur bukanlah asing di negara ini dengan hampir 9,000 kes perkahwinan bawah umur dicatatkan dari 2010 hingga 2015 dengan 6,268 membabitkan muslim manakala 2,775 kes melibatkan bukan muslim.