Wanita Pakatan Harapan Kelantan sepakat atur gerakan bersama

Wanita Pakatan Harapan Kelantan sepakat atur gerakan bersama

Pergerakan wanita parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) peringkat negeri Kelantan bersetuju mengatur gerakan bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketua angkatan wanita Amanah (Awan) Kelantan Normala Mohd Nadzar berkata sebagai permulaan, program anjuran mana-mana parti akan dibantu oleh pergerakan wanita parti komponen lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas satu pertemuan khas antara gerakan wanita PH yang diadakan di Kota Bharu semalam.

Pertemuan itu katanya melibatkan wanita Amanah, Srikandi Bersatu dan Wanita PKR.

“Wanita DAP yang tidak dapat hadir bagaimanapun turut menyatakan kesediaan untuk menerima sebarang keputusan yang kami putuskan bersama,” katanya.

Sebagai program pertama menurutnya, semua sayap wanita PH akan bersama menyambut lawatan bekas senator Hajah Jamilah Ibrahim yang akan berlangsung pada 16 Mei ini.

“Antara acara yang dirancang adalah ceramah khas untuk wanita yang akan diadakan di Taman Uda Murni, Kota Bharu.

“Pemimpin-pemimpin utama sayap wanita semua parti dalam PH akan turut bersama dalam majlis itu,” katanya.

Sempena lawatan senator Jamilah Ibrahim itu juga katanya, pelbagai program diatur di beberapa tempat berasingan.

“Program ziarah, ceramah kelompok, menyantuni armalah dan dhuafa’ adalah antara agenda yang akan disertai beliau sepanjang berada di Kelantan selama empat hari.

“Semua aturcara ini akan turut dibantu dan disertai oleh semua sayap wanita parti-parti dalam PH,” katanya.

Menurut Normala mulai sekarang mereka akan mengadakan pertemuan lebih kerap bagi mengemaskini program-program bersama khususnya program penerangan di semua peringkat hingga ke akar umbi.

COMMENTS

Wordpress (0)