Wanita Pakatan Harapan Melaka dilancar, kerjasama antara parti makin mantap

Wanita Pakatan Harapan Melaka dilancar, kerjasama antara parti makin mantap

Bertempat di Graha AMANAH Melaka, di Taman Suria, Bukit Katil pada 17 November lalu, Pakatan Harapan Melaka telah melancarkan Wanita Pakatan Harapan Melaka.

Perisytiharan pelancaran telah dibuat oleh Ketua Angkatan Wanita Pakatan Harapan, Hajjah Zuraida Kamaruddin yang merupakan Ahli Parlimen Ampang (PKR).

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan yang juga Ketua Wanita AMANAH Nasional, Dr Mariah Mahmood, Naib Ketua Wanita Pakatan Harapan Nasional yang juga Timbalan Ketua Wanita DAP Damansara, Marry Josepine serta pimpinan PH negeri.

Barisan anggota Wanita Pakatan Harapan Melaka.

Wanita Pakatan Harapan Melaka diketuai oleh Mahani Misban (PKR) beserta empat orang Timbalan Ketua iaitu Ketua Wanita AMANAH, Mahani Othman Basir, Ketua Wanita Bersatu, Azalina Abdul Rahman, Ketua Wanita PKR, Ginie Lim Siew Lin dan Ketua Wanita DAP negeri Melaka, Chong May Lee. Dua orang Naib Ketua pula ialah Azura Talib (AMANAH) dan Salimah Liwon (PKR).

Majlis bermula dengan perarakan membawa masuk bendera parti sebelum Zuraida menyampaikan ucapan pelancaran.

Dalam ucapan pelancarannya Zuraida berkata, Wanita Pakatan Harapan lebih mendepani perjuangan dalam isu-isu wanita di negara ini berbanding Umno/BN.

“Sebelum ini sewaktu dalam Pakatan Rakyat, kita parti pertama yang meletakkan dalam perlembagaan kita sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sedangkan Umno/BN yang sekian lama memerintah belum mampu berbuat demikian.

“Berdasarkan agenda wanita Malaysia yang kita rangka dalam PRU-13, kita mampu melaksanakan janji-janji tersebut di negeri-negeri yang kita perintah iaitu di Pulau Pinang dan Selangor.

“Semua ini kita jadikan model untuk kita laksanakan di peringkat Putrajaya nanti. Jika kita telah ada rangka dan strukturnya, nanti bila kita ambil alih Putrajaya, kita terus laksanakan sahaja,” katanya.

Di Selangor kata Zuraida, kerajaan PH telah memperkenalkan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberi bantuan sebanyak RM2,400 setahun kepada suri rumah yang tidak bekerja dengan mengambil kira bahawa mereka ini juga adalah penyumbang kepada pembangunan dan masa depan negeri dan negara.

Sebelum itu, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Melaka, Adly Zahari dalam ucapannya menyeru semua parti komponen dalam PH, bukan sahaja di Melaka malah di seluruh negara supaya mempertingkatkan kerjasama terutama menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Ruang Graha dipenuhi penyokong dan aktivis pada majlis pelancaran.

Kerjasama amat perlu kata beliau, bagi melancarkan segala gerak kerja dan bagi mengelakkan pembaziran tenaga dan sumber.

Justeru sambungnya, dengan pelancaran Wanita Pakatan Harapan Melaka ini kerjasama itu akan menjadi lebih mantap.

Majlis pelancaran tersebut mendapat sambutan serta sokongan yang sangat baik daripada aktivis wanita tempatan apabila ruang Graha Melaka tersebut dipenuhi oleh kehadiran mereka.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES