Gadis yang cedera parah selepas dihempap timbunan kayu balak di kawasan lampu isyarat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, pada Selasa lalu sudah sedarkan diri.
Khabar baik itu disahkan oleh tunang mangsa, Siti Norelyana Kamarulzaman iaitu Nik Amnan Arif Nik Anuwar yang turut memaklumkan keadaan gadis itu kini menunjukkan perkembangan positif.
Dalam kejadian tersebut, Siti Norelyana dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal sebelum tiba-tiba dihempap timbunan kayu balak dari lori yang terbalik, lapor Berita Harian.
Mangsa berusia 21 tahun yang mengalami kecederaan parah itu kemudian ditidurkan di Hospital Gua Musang sebelum sedarkan diri, kelmarin selepas menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
“Alhamdulillah selepas kira-kira lima hari ditidurkan, Siti Nurelyana mula sedar. Dia juga boleh bercakap dengan baik tetapi masih memerlukan masa untuk menggerakkan anggota badan.
“Pergerakan juga perlu dilakukan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati,” kata Nik Amnan Arif, 22, yang belum dimaklumkan mengenai rawatan selanjutnya dijalankan ke atas Siti Norelyana, memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata bahawa kemalangan berlaku apabila penyambung ataupun cakera putar lori terbabit patah ketika melalui selekoh.
Keadaan ini sekali gus telah menyebabkan kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum menghempap mangsa yang sedang berhentikan motosikal miliknya di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Malang tidak berbau, bahagian tulang punggung dan rusuk Siti Norelyana didapati patah selain mengalami kecederaan serius di bahagian hati, limpa, hempedu dan usus akibat dihempap kayu balak.
Siti Norelyana sebelum ini dikhabarkan akan menjalani prosedur untuk membuang buah pinggangnya yang rosak sebelah manakala pembedahan lain dijangka turut dilakukan membabitkan tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu.
Baca juga: Takut kantoi dengan isteri sebab pergi Thailand, lelaki ditahan pegawai imigresen lepas gam pasport