Wanita patah tulang rusuk gara-gara terbatuk lepas makan pedas, tapi ini pula jawapan doktor

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara terbatuk selepas memakan makanan pedas, seorang wanita di Shanghai, China terpaksa menahan sakit akibat tulang rusuknya patah sejurus terbatuk.

Lapor laman berita India Times kelmarin, wanita yang hanya dikenali sebagai Huang itu memiliki badan yang terlalu ringan dengan ketinggian 171cm dan beratnya hanya 57 kilogram.

Ini kata doktor menjadi penyebab tulangnya mudah patah kerana tiada sokongan dari otot badan.

“Tulang rusuk anda boleh dilihat dengan jelas di bawah kulit. Tiada otot untuk menyokong tulang anda, jadi amat mudah untuk tulang rusuk anda patah apabila batuk,” kata doktor tersebut.

Huang berkata, ketika dia mengalami batuk, secara tiba-tiba dia ada mendengar bunyi seperti ‘sesuatu yang patah’ pada bahagian dadanya.

Dia bagaimanapun tidak mengambil berat mengenai perkara itu dan meneruskan kehidupannya seperti biasa, sehinggalah suatu hari di mana dia mula berasa sakit pada bahagian tersebut.

Huang kemudian mula mengalami kesukaran untuk bernafas dan berasa sakit ketika bercakap. Keadaan itu membuatkan dia pergi berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai keadaan kesihatannya.

Selepas melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor mendapati tulang rusuk wanita itu telah patah. Sebagai rawatan, doktor membalut bahagian dadanya dengan ketat dan menasihatkannya agar berehat selama lebih sebulan bagi merawat kembali keadaan tersebut.

Baca juga: Dipecat Umno? Annuar mimpi ditarik keluar dari api, mampu lihat rumah pusaka terbakar

Baca juga: Hanya berhubung di Instagram, akhirnya kantoi status lelaki sebenarnya suami orang