Malaysia Dateline

Wanita pemimpin yang lebih bertanggungjawab

Saya membandingkan kepimpinan Margaret Tatcher dengan beberapa Perdana Menteri (PM) British selepasnya. Saya membanding kepimpinan politik Angela Merkel dan Jacinda Ardent dengan kepimpinan politik di Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.

Saya mula percaya bahawa kepimpinan politik Malaysia mungkin akan jadi jauh lebih baik sekiranya kita mempunyai PM atau Menteri Besar (MB) dari kalangan wanita.

Malangnya, politik Malaysia masih belum mampu mengangkat martabat wanita ke arah itu. Lihat sahaja polemik tentang cadangan untuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Kak Wan menjadi MB Selangor dulu.

Pemikiran kebanyakan orang Melayu masih terlalu konservatif. Pemahaman agama yang sempit dan kolot dijadikan dogma penghalang.

Saya kira, sekiranya parti-parti politik di Malaysia berupaya mengangkat martabat kaum wanita ke paras yang lebih tinggi, ianya adalah satu perkembangan yang baik untuk negara.

Tetapi perlu diingat, jangan kita mengangkat martabat kaum wanita hanya melalui sistem kuota. Itu pendekatan yang salah.

Kuota adalah manifestasi kelompok yang lemah dan tidak berdaya saing. Sistem kuota melahirkan oportunis yang tidak bertanggungjawab.

Kaum wanita mesti diangkat martabatnya melalui kaedah pertimbangan merit. Biar mereka bersaing secara kompeten dan saksama berdasarkan merit dan keupayaan.
Barulah kita akan berupaya melahirkan tokoh pemimpin wanita yang hebat seperti Margaret Tatcher, Angela Merkel, dan Jacinda Ardent.

Kita dapat melihat di negara kita, kebanyakan pelajar universiti adalah dari kalangan wanita. Kebanyakan pelajar cemerlang di peringkat sekolah rendah dan menengah juga adalah dari kalangan pelajar perempuan.

Di pejabat-pejabat kerajaan, ramai ketua jabatan dan pentadbir yang cemerlang adalah dari kalangan wanita. Saya banyak menghadiri seminar usahawan dan begitu ramai yang hadir adalah peserta wanita.

Ini bermakna, secara statistiknya kebarangkalian untuk kita mendapat bakat dan potensi yang cemerlang dari kalangan kaum wanita adalah sangat tinggi.

Pengasas Grameen Bank di Bangladesh, Dr Muhammad Yunus yang memperkenalkan sistem mikro-kredit sehingga mendapat penghargaan sebagai penerima Pingat Keamanan Noble telah membuat kajian yang terperinci.

Beliau mendapati bahawa peminjam dari kalangan kaum wanita lebih bertanggungjawab untuk membayar semula pinjaman mereka berbanding peminjam dari kaum lelaki.

Ini menunjukkan, atas faktor-faktor tertentu yang mungkin belum dapat dikenalpasti, kaum wanita di zaman kita ini adalah secara umumnya lebih amanah dan bertanggungjawab dalam urusan kewangan.

Inilah kualiti kepimpinan politik yang sangat diperlukan dalam iklim kepimpinan negara kita hari ini.

Janganlah hanya kerana kefahaman agama yang sempit dan kolot menyebabkan negara kira terhalang dari menikmati kepimpinan politik yang lebih berkualiti, jujur, dan bertanggungjawab.