Wanita perlu jadi ‘pengimbang’ dan ‘pendesak’ yang mendamaikan – Dr Mariah

Wanita perlu jadi ‘pengimbang’ dan ‘pendesak’ yang mendamaikan – Dr Mariah

Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, wanita pada keadaan yang bersesuaian dan memerlukan boleh menjadi pihak pengimbang bahkan pendesak yang bertanggungjawab dan mendamaikan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Mariah berucap merasmikan program anjuran Awan Kawasan Batu semalam.

Bangkit belajar daripada pengalaman lalu, Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menyeru golongan Hawa supaya berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ dalam parti berkenaan.

Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, wanita pada keadaan yang bersesuaian dan memerlukan boleh menjadi pihak pengimbang bahkan pendesak yang bertanggungjawab dan mendamaikan.

“Dalam pengalaman kita berbelas-belas tahun lalu, kita tahu ada yang bersaing mahu kuasa tetapi kita berharap dapat mengekang gejala itu (dalam Amanah). Apa yang penting kita fokus untuk menjayakan matlamat parti kita.

“Amanah mahu melahirkan masyarakat kita yang lebih sejahtera dan seimbang dengan nilai-nilai murni yang juga dimiliki pada agama lain dengan Islam menjadi penaung rahmatan lil alamin,” ujarnya dalam ucapan sempena majlis Makan Malam D’Awan Amanah Batu di Jalan Gombak, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu.

Beliau berkata, Amanah mahu melihat matlamat penubuhan parti itu antaranya mendirikan sebuah masyarakat dan negara madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua terlaksana bagi menjamin masa depan pewaris tanah air selepas ini hidup sejahtera.

“Selain kita ingin lihat negara ini diperbetulkan pentadbirannya, kita juga ingin melihat keadilan di negara ini serta anak cucu kita pada masa depan dapat hidup di
negara yang dicintai ini tanpa perlu berkelahi dan berbalah.

“Kita di Awan khususnya berusaha untuk mencipta satu masyarakat yang hidup majmuk ini supaya saling mengasihani dan berkasih sayang antara satu sama lain sesuai dengan misi yang Amanah bawa iaitu rahmatan lil alamin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Mengimbas kembali pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia 12 Februari tahun lalu, Dr Mariah mengingatkan kembali tentang perjuangan politik inklusif melangkaui jurang kaum dan agama seperti ditekankan oleh Mursyidul Am Pas itu.

“Saya masih ingat bagaimana arwah Tok Guru Nik Aziz menekankan tentang kebersamaan. Nabi Adam apa bangsanya? Melayu, Cina, Arab? Tidak. Kita tidak tahu apa bangsanya sebelum kita dijadikan berbangsa-bangsa tetapi asal kita semua adalah sama.

“Kalau Amanah dapat menggembleng sifat politik kepedulian yang yang penuh kasih-sayang, kemesraan dan baik budi antara satu sama lain, Insya Allah Awan berupaya saling menyokong bersama dengan golongan lelaki untuk mencorak perjuangan parti, masyarakat dan negara ini.

“Wanita dalam Amanah mesti memastikan parti Amanah berdiri di atas landasannya dengan karakter tersendiri supaya dalam jangka panjang dikenali ke seluruh pelosok negara,” tambahnya lagi.

TAGS