Malaysia Dateline

Wanita perlu memilih untuk mencabar

“When things do not go your way, remember that every challenge — every adversity — contains within it the seeds of opportunity and growth.”

Perkara yang paling penting untuk dimuhasabah oleh setiap wanita khususnya mereka yang bergelar pemimpin wanita adalah jika mereka berpeluang mempunyai kedudukan kepemimpinan dan kuasa, dan mereka tidak menggunakannya dengan cara yang berbeza, sebaliknya sekadar mengulangi watak stereotaip kepimpinan sedia ada, maka wanita itu sebenarnya terlepas dan melepaskan peluang untuk melakukan dan memulakan sesuatu perubahan dalam komuniti dan negaranya.

Tujuan wanita memiliki kekuasaan tidak hanya untuk kepentingan peribadi atau kepentingan sesebuah parti atau sesebuah organisasi yang diwakilinya, tetapi sebagai alat untuk menggunakan pengaruh wanita, kelainan cara dan citra wanita, kekuatan intuitif wanita dan perbezaan fitrah wanita untuk membimbing, memberdayakan, dan seterusnya mengangkat martabat mereka yang tidak memiliki kekuatan untuk melakukannya.

Lagipun, mengapa perlu ada lebih ramai wanita dalam kepemimpinan jika wanita itu tidak akan membawa perubahan dengan cara mengedepankan semua yang diperjuangkan wanita sejak sekian lama ke meja rundingan/ pemesyuaratan?

Saya percaya sebagai wanita, kita perlu terus meraikan apa yang kita miliki dan berkongsi, dan berhenti membiarkan masyarakat fokus pada apa dan bagaimana kita barangkali berbeza, sama ada daripada sudut wadah mahupun pendekatan.

Apabila wanita berjaya menemukan kekuatan pada keinginan, keutamaan dan perjuangan yang sama itu, percayalah wanita akan lebih berjaya menghadirkan perubahan-perubahan  dan dengan kerangka paradigma baharu dalam memimpin dan membangunkan negara.

“We need to reshape our own perception of how we view ourselves. We have to step up as women and take the lead.”

“Dunia yang dicabar adalah dunia yang berwaspada.”

Sebagai seorang individu, kita semua bertanggungjawab ke atas pemikiran dan tindakan kita sendiri – sepanjang hari, setiap hari.

Sebagai wanita yang peduli, kita boleh memilih untuk mencabar dan menyatakan sikap serta pendirian kita ke atas sekurang-kurangnya tiga perkara :

1. Perkara-perkara dan apa jua aspek yang tidak memberi manfaat atau bias dan berat sebelah terhadap masyarakat wanita;

2. Sebarang ketidakadilan berasaskan gender yang kerap dan masih terus berakar dalam masyarakat; dan

3. Apa jua ketidakterangkuman dalam dasar-dasar dan program-program yang berlangsung sekitar masyarakat samada yang dianjurkan oleh komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan, pihak kerajaan negeri ataupun pihak kerajaan persekutuan.

Kita semua juga boleh memilih untuk membantu membuka, meningkatkan dan meluaskan lagi ruang dan peluang bagi mencipta lebih banyak pencapaian wanita dalam pelbagai aspek kehidupan mecakupi sosioekonomi, pendidikan dan politik.

Bergerak secara kolektif, kita semua dapat membantu mewujudkan dunia yang inklusif, sekaligus menghormati dan memartabatkan wanita selayaknya sebagai insan bermaruah dan mulia.

Daripada cabaran, maka akan datanglah perubahan, maka marilah kita sama-sama menyahut seruan komuniti wanita antarabangsa #memilihuntukmencabar sempena sambutan ulangtahun ke-110 Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2021.

Dunia yang lebih inklusif memerlukan transformasi bagaimana kita – wanita berperilaku, berfikir dan menyatakan sikap serta pendirian, dan bagaimana kita #memilihuntukmencabar, bukan hanya terhadap ketidakadilan sistemik, tetapi juga terhadap bias diri kita sendiri yang terbina tanpa sedar kesan kolektif sosial dan budaya persekitaran kita.

Memacu perubahan masyarakat apatah lagi dalam keadaan sistem patriakinya yang masih segar mengakar, dan mencabar status quo yang sudah separuh abad membudaya – memang bukanlah suatu perkara yang pernah mudah!

Peralihan budaya tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi bahagian terbaik mengenai perubahan adalah bahawa ia boleh bermula dengan satu orang pada setiap masa, dan satu orang itu boleh saja adalah setiap wanita – yakni saya, anda dan kita semua!

Tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini iaitu #ChooseToChallenge atau #memilihintukmencabar, hemat saya adalah sangat signifikan sekali sebagai satu kempen kesedaran untuk mendorong lebih ramai wanita berkomitmen membantu membentuk sebuah dunia yang lebih peduli, inklusif, progresif, menghormati dan memartabatkan wanita.

Bermula daripada diri setiap wanita yang merupakan separuh daripada populasi dunia dan setiap negara, wanita harus mengorak langkah membina keyakinan – memilih untuk mencabar, merubah kelaziman dan konvensional sosiobudaya yang memisukkan wanita di satu sudut jauh daripada potensi sebenar dirinya.

Wanita yang #memilihuntukmencabar bukanlah mereka yang hilang kompas hidup beragama, tetapi sebaliknya mengangkat kembali martabat dan karomah kemulian insan dan ilmu pengetahuan pada tempat sewajarnya ia diletakkan. Wanita yang berilmu tidak akan pernah sama dengan lelaki dan wanita yang tidak berilmu.

Wanita yang #memilihuntukmencabar boleh bermula dengan enam langkah memupuk kemajuan dan perubahan dirinya :

1) Mendidik dirinya dan memastikan dia terdidik.

2) Mengintropeksi diri sendiri bagi meluruskan sikap dan pemikiran wanita daripada kecenderungan bias dan prasangka yang lama tertanam, sekaligus membolehkan wanita melihat segala situasi secara lebih objektif.

Wanita boleh mengemukakan soalan berikut kepada diri sendiri:

• Adakah kepercayaan/ andaian ini selalu benar?
• Adakah saya membuat andaian berdasarkan jantina, bangsa, orientasi seksual, kepercayaan, usia, atau kemampuan?
• Adakah kepercayaan saya berdasarkan pengetahuan terhad dan tidak lengkap?
• Apa bukti/ bukti yang ada untuk menyokong kepercayaan saya atau menolaknya?
• Siapa kata perkara harus seperti ini?
• Mana mungkin saya melihat keadaan ini?
• Adakah saya tidak menerima tanggungjawab untuk sesuatu yang salah atau berada dalam kawalan saya?
• Apa yang boleh menjadi kepercayaan yang lebih baik?
• Apa kesan daripada apa yang saya katakan atau lakukan?

3) Elak membuat andaian dan pertanyaan yang silap berasas daripada kaedah fikir stereotaip yang tertanam lama dalam jiwa.

Sebilangan besar daripada kita dewasa dengan peraturan jantina dan stereotaip sepenuhnya tertanam dalam jiwa kita, dan tanpa kita sedari ia sangat mempengaruhi kebiasaan, andaian, dan kepercayaan kita tentang bagaimana kita bekerja, berinteraksi, bersosial dan membuat keputusan. #memilihuntukmencabar  bermakna kita upaya berfikir di luar kotak melampaui konvensional dan kebiasaan yang kita dibesarkan.

4) Bertanya.

Satu-satunya cara untuk menjadi sekutu dalam isu-isu yang diperjuangkan adalah dengan mengajukan soalan yang tepat dan memberi perhatian terhadap respon khalayak.

Adalah mustahil untuk menjangkakan keperluan dan harapan semua orang, tetapi keupayaan mengemukakan soalan tepat dengan penuh hormat, memungkinkan kita untuk menarik kebersamaan dan sokongan terhadap hal-hal yang kita lontarkan.

5) Bersedia menghadapi cabaran dan ketidakselesaan akibat #memilihuntukmencabar.

Apabila kita mengemukakan soalan/ pertanyaan dengan niat untuk memperbaiki kelaziman yang bias, tentulah akan ada maklum balas yang tidak dijangka yang mungkin janggal, bahkan tidak menyenangkan.

Justeru, mempersiapkan diri kita terlebih dahulu, terutamanya sebelum melakukan perbincangan yang sukar, akan mengurangkan kesulitan termasuklah pergeseran dan emosi yang memuncak yang akhirnya lari daripada konteks dan objektif sebenar kita #memilihuntukmencabar .

Makanya, kesedaran dan kawalan diri sangat penting untuk kita mengembangkan empati dan sensitiviti gender, samada daripada sudut equality mahupun equity.

“Challenge and adversity are meant to help you know who you are. Storms hit your weakness, but unlock your true strength.”

6) Akui Tanggungjawab.

Apabila kita melangkah keluar dari zon selesa kita, atau memasuki perbualan yang membuat kita tidak selesa, itu mungkin melibatkan satu atau dua masalah. Jangan mengkritik diri sendiri kerana tidak mengetahui jawapan yang tepat – tetapi belajarlah sambil terus berjalan, dan yang paling penting, bersiaplah untuk mengambil tindakan yakni mempertingkat kualiti dan potensi  diri.

Seandainya berlaku sebarang salah faham, cepat perbetulkan dan minta maaf – orang akan mengakui niat tulen kita, lebih daripada sekadar menutup mulut.

Setiap orang kadang-kadang melakukan kesilapan ketika menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, tetapi yang paling penting adalah mengakui kesilapan dan mengambil pengajaran daripadanya.

Sekiranya kita terbuka untuk mencabar, kita juga mesti siap untuk dicabar dan menguruskan setiap cabaran itu dengan kematangan dan keberanian.

“There’s something so special about a woman who dominates in a man’s world. It takes a certain grace, strength, intelligence, fearlessness and the nerve to never take no for an answer.”

SELAMAT HARI WANITA ANTARABANGSA – MEMILIH UNTUK MENCABAR!

*SENATOR AIMAN ATHIRAH AL JUNDI merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH).