Wanita pesan tak usah kecam majikan tak macam KA, ‘struggle’ syarikat tak semua sama

Oleh KIM SYAZIE

Seorang individu menasihatkan orang ramai agar tidak membandingkan majikan mereka dengan pempengaruh selebriti, Khairul Aming yang setiap tahun berhabis jutaan ringgit untuk menyediakan kelengkapan hari raya buat pekerjanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Syafinas Abu Bakar berkata, setiap majikan tidak mempunyai rezeki yang sama, malah cabaran perniagaan pun berbeza-beza.

“Jualan Khairul Aming RM42 juta. Setakat belanja kakitangan RM2 juta setahun apa lah sangat bagi dia. Semua majikan nak buat macam itu tapi itu lah rezeki setiap majikan tak sama.

“Struggle perniagaan pun tak sama. Ada orang usaha bertahun lamanya tapi belum rezeki. Ada orang 2,3 tahun meletup-letup dah rezeki. Kakitangan yang masih ada majikan yang mampu bagi gaji tanpa culas, KWSP, Socso semua lengkap hargailah,” katanya.

Menurut Syafinas, banyak majikan zaman kini sudah mengibar bendera putih kerana cabaran mencari ‘sale’ setiap hari.

Untuk itu katanya, jika semua pekerja menginginkan majikan seperti Khairul Aming, mereka juga perlu bersiap sedia, mengerah tenaga untuk mencapai hasil jualan yang ditetapkan syarikat.

Ujarnya tidak semua majikan hanya memikirkan perut sendiri. Oleh itu dia menasihatkan semua orang untuk menghargai setiap usaha majikan.

“Hargailah setiap usaha yang majikan buat dan setiap titik peluh anda dengan rakan sekerja lain. Kerja satu ibadah. Banyak mana pun dapat kalau kita tak culas bayar zakat, bagi mak ayah, belanja adik beradik, gaji tak banyak pun hidup tenang. Ada ja orang gaji tinggi, mewah tapi pengakhiran bunuh diri.

“Pokoknyaa bersyukur. Jangan nak kecam majikan yang 24 jam otak berpusing macam mana nak dapat sale esok lusa tulat. Dalam tidur pun boleh terbawa. Doakan moga satu hari dapat juga jadi majikan macam KA,” kongsinya lagi.

Hantaran itu sehingga kini mendapat lebih 3,000 tanda suka dengan ratusan komen yang berbeza pendapat mengenai sikap majikan sekarang yang kebanyakan suka bermewah-mewah sehinggakan setiap tahun bawa keluar kereta baru.

Ada juga yang meninggalkan komen, mengatakan jika semua majikan seperti Khairul Aming, maka para pekerja pun dengan sendirinya akan lebih termotivasi dan bekerja keras untuk mencapai target syarikat.

Baca juga: Wanita terkejut tengok arwah ibu di google maps