Wanita PH akan guna pengalaman Norma bantu kemenangan PRK Tg Piai

Wanita PH akan guna pengalaman Norma bantu kemenangan PRK Tg Piai

Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pengalaman ibu mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dalam mengatur gerak kerja jentera wanita bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Wanita PH, Zuraida Kamarudin berkata beliau sempat bertemu ibu Allahyarham Dr Md Farid, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ahad.

“Beliau (Norma) juga ada berkongsikan pandangan tentang gerak kerja PRK. Beliau bukan calang-calang wanita kerana adalah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun.

“Beliau berpengalaman sebagai penggerak dan menjalankan tugas-tugas pilihan raya bagi sayap Wanita. Jadi, beliau akan mainkan peranan untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kemenangan kepada PH,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Bomba Johor Datuk Yahaya Madis.

Ditanya sekiranya Norma ataupun terdapat wanita lain bakal dicalonkan bertanding PRK itu, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau mengalu-alukannya kerana Johor memerlukan ramai wakil rakyat wanita dari PH.

“Kerusi ini (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi milik Bersatu. Saya serahkan kepada Bersatu untuk mereka memikirkan calon yang layak.

“Kalau ada ruang dan peluang, saya alukan (calon wanita) dan akan jadi faktor tambahan untuk kemenangan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.– BERNAMA