Wanita PH akan perjuangkan rang undang-undang kesaksamaan gender

Wanita PH akan perjuangkan rang undang-undang kesaksamaan gender

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin berkata, beliau merasa amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Noorfadilla Ahmad Saikin hanya patut menerima RM40,000 atas pelanggaran terhadap hak asasi beliau yang sepatutnya dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jumlah yang diputuskan oleh mahkamah tidak setimpal dengan diskriminasi yang beliau hadapi hanya kerana beliau mengandung, kata beliau.

Jelas beliau, memecat seorang pekerja wanita hanya kerana mereka hamil adalah satu diskriminasi jantina dan tidak patut berlaku dalam masyarakat kini.

Justeru katanya, sebagai ahli parlimen PH dan Ketua Wanita PH, beliau akan meneruskan perjuangan untuk memperkenalkan rang undang-undang kesaksamaan gender di dalam parlimen untuk merubah sistem sedia ada yang bersifat patriaki dan stereotaip gender.

“Saya amat bersimpati dengan Noorfadilla dan wanita-wanita lain yang telah terkesan dengan diskriminasi gender di tempat kerja mereka.

“Saya menyeru semua majikan untuk lebih sensitif gender dan inklusif dalam merencanakan polisi yang boleh memberi kesan kepada para pekerja wanita,” kata Ahli Parlimen Ampang itu dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah beliau, di peringkat kerajaan, pihaknya akan terus melaksanakan polisi mesra wanita dan pemberdayakan wanita yang berterusan.

“Malaysia telah berjanji untuk memperbaiki keadaan wanita di negara ini sejak menandatangani konvensyen CEDAW, 23 tahun yang lalu. Sekarang sudah tiba masanya untuk kita melunaskan janji kita kepada rakyat.

“Apabila kabinet baru diumumkan, saya berjanji kita akan menyaksikan perubahan yang sebenar.

“Malaysia telah menandatangani “Konvensyen Penghapusan Terhadap Sebarang Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita” (CEDAW) 1995 dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga telah membentangkan CEDAW Report bagi Malaysia dalam sesi ke-69 yang diadakan di Geneva pada 23 Februari tahun ini,” kata Zuraida.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote