Wanita PH alu-alukan Maria Chin bertanding PRU14

Wanita PH alu-alukan Maria Chin bertanding PRU14

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin berkata, Wanita PH menyambut gembira kesediaan Maria Chin Abdullah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang bagi mewakili PH.

Kata beliau, partisipasi aktif beliau dalam politik kelak akan menaikkan semangat ramai pendokong gerakan rakyat kerana beliau adalah antara sosok pemimpin yang amat diperlukan oleh Malaysia – seorang reformis, adil dan bersih untuk rakyat.

“Puan Maria mewakili kelompok yang dahagakan perubahan dan merasakan desakan hebat bahawa pentingnya ketelusan dan tatakelola kerajaan yang baik.

“Dengan pengalaman lalu beliau melalui platform BERSIH, Maria telah membuktikan bahawa dirinya layak memimpin dan mewakili suara rakyat,” kata Zuraida dalam kenyataan medianya hari ini.

Zuraida Kamruddin

Jelas beliau, pemimpin yang terbukti ampuh dan berkredibiliti seperti Maria akan dapat meningkatkan penyertaan wanita di Parlimen dan saya yakin ia turut bakal mengangkat perjuangan wanita ke aras yang lebih tinggi.

Beliau juga merupakan seorang yang popular dan dikenali ramai. Dengan pengalaman perjuangan yang panjang termasuk disiasat pihak berkuasa, beliau dan keluarga juga pernah menerima ugutan bunuh selain ugutan-ugutan lain, ujarnya.

“Maka, Maria telah membuat pilihan yang tepat untuk melangkah setapak lagi dalam arena politik dan sekali lagi tahniah saya ucapkan atas manifestasi keberanian beliau ini,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote