Wanita PH saran lindungi hak isteri pertama sebelum suami diizin berpoligami

Wanita PH saran lindungi hak isteri pertama sebelum suami diizin berpoligami


Wanita Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan negeri Kedah dan kerajaan Persekutuan melihat semula kebenaran berpoligami di setiap negeri yang memerlukan satu mekanisme berteraskan prinsip keadilan untuk pasangan yang membabitkan perkahwinan umat Islam di negara ini.

Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin berkata, PH tidak menolak undang-undang Islam membenarkan  poligami di kalangan lelaki Islam namun beberapa fakta penting perlu dipertimbangkan sebelum kebenaran berpoligami diberikan kepada suami.

“Satu mekanisme perlu digubal agar perkahwinan kali kedua di mana sahaja berlaku sama ada di dalam atau di luar negara harus berpra-syarat dengan persetujuan isteri pertama.

“Mereka (isteri pertama) harus dibenarkan hadir di  mahkamah untuk memastikan suami mereka telah menjalankan tugas seadil-adil, selengkap-lengkapnya dan sesempurnanya sebagai seorang suami dengan isteri pertama dan anak-anak sebelum membenarkan suami berpoligami.

“Lepas itu barulah mahkamah syariah boleh menentukan sama ada kemampuan suami itu sama ada boleh atau tidak dibenarkan berpoligami.

“Ini penting sama ada mereka dalam kedudukan isteri pertama atau isteri kedua agar nasib mereka terbela dari segi pemberian nafkah dan keperluan anak-anak,” ujarnya.

Beliau bercakap dalam sidang media yang diadakan di ibupejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dihadiri dikalangan pimpinan wanita parti gabungan dalam Pakatan Harapan di Damansara hari ini.

                                                                                                            {loadposition myposition}

Wanita PH mengulas berkaitan dengan kenyataan Pengerusi Hal Ehwal Agama Negeri Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pada Jumaat, yang dipetik berkata, Kerajaan negeri Kedah akan memaklumkan isteri pertama jika suami mereka berkahwin lagi di luar negara, tetapi persetujuan atau kelulusan isteri pertama tidak diperlukan untuk perkahwinan itu disahkan.

Ini adalah sebahagian daripada program perundangan negeri bagi lelaki Muslim yang bernikah di Thailand atau negara lain dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

Program yang dianggap sebagai usaha ‘pembersihan status’ oleh kerajaan negeri dijangka bermula bulan depan dan kerajaan negeri turut mengumumkan mengurangkan denda kerana gagal mendaftarkan perkahwinan antara RM300 dan RM400 berbanding RM3,000 pada masa ini.

Naib Ketua Wanita PH Dr Siti Mariah Mahmud pula berpandangan keputusan yang dibuat kerajaan negeri Kedah itu walaupun dianggap wajar tetapi ia perlu adil kepada isteri pertama dan mendahului perundangan dalam negara.

“Bagamana mahkamah nak tentukan keadilan ini? apabila suami dengan mudah mendapat pengiktirafan (tanpa merujuk isteri), apa guna kita ada undang-undang di negara ini?

“Denda RM300 dan RM400 bagi yang berkahwin di luar negara maka berduyun-duyunlah nak pergi ke Thailand, adakah ini proses pemutihan sebelum 2017 atau denda itu akan terus dikurang selepas ini?

“Tanggapan sebahagian lelaki kononnya berpoligami adalah hak kaum lelaki adalah tidak benar, ia bukan satu hak sebaliknya ia adalah ‘kebenaran’ yang bersyarat.

“Kami bimbang jika proses ‘pemutihan’ itu dilaksanakan, jika perlu disahkan terlebih dahulu untuk memberikan keadilan kepada isteri pertama, sama ada selama perkahwinan itu berlansung adakah suami menjalankan tanggungjawab sebagaimana sepatutnya yang a ditetapkan agama Islam dalam menyediakan nafkah zahir dan batin terhadap isteri dan anak-anak yang sewajarnya.

“Jika suami gagal hakim perlu mengeluakran perintah pemberian nafkah terhadap isteri pertama dan anak-anak setelah pernikahan kedua itu itu didaftarkan.

“Kami orang perempuan dan kami nak membela kedua-duanya dan tidak mudah untuk seorang suami mempermainkan tangungjawab mereka, dan sekurang-kurangnya suami perlu melalui proses itu terlebih dahulu,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS