Malaysia Dateline

Wanita PH Kelantan mahu calon wanita semua parti dipertimbangkan

Calon-calon wanita daripada semua parti anggota Pakatan Harapan (PH) perlu diberi pertimbangan serius oleh pimpinan dalam menghadapi PRU14.

Pengerusi Wanita PH Kelantan Norashidah Jaafar berkata, isu berkenaan adalah antara topik utama dalam perjumpaan pihaknya dengan pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa.

“Bagi kita perkara ini perlu diberi perhatian awal supaya pihak wanita boleh mengemukakan dengan cermat cadangan-cadangan calon yang sesuai.

Norashidah Jaafar

“Ini kerana pihak pimpinan tentulah memerlukan masa yang cukup untuk meneliti calon-calon yang kita kemukakan,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan Wanita PH Kelantan dengan Datuk Husam Musa di pejabat AMANAH Kubang Kerian kelmarin.

Sejak awal penubuhan AMANAH katanya, soal penyertaan wanita dalam kumpulan pembuatan keputusan dalam semua peringkat organisasi begitu ditekankan.

“AMANAH sejak awal menerima konvensyen beberapa badan antarabangsa yang mahu penyertaaan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam kumpulan berkenaan.

“Dalam konteks penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya di negara ini, hampir semua parti menerimanya tanpa masalah.

“Dengan penubuhan PH yang merupakan parti berinspirasi masa depan, perkara ini tentulah perlu menjadi agenda utama,” katanya.

Untuk waktu ini katanya, memang kita sedar masyarakat masih sukar menerima jumlah calon wanita yang ramai dalam pilihan raya.

“Dalam perbincangan tadi, kita diberitahu oleh Datuk Husam tentang usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan Adun yang dilantik selain yang dipilih melalui pilihan raya.

“Datuk Husam berharap cadangan ini akan memberi laluan kepada lantikan Adun wanita yang lebih ramai dalam dewan negeri.

“Kita berharap PH setelah memerintah nanti memberi pertimbangan serius kepada cadangan ini” katanya.

Berkenaan imej pergerakan wanita yang kini mengikut parti masing-masing, beliau berkata satu formula perlu disegerakan.

“Kita mahu ada imej bersama atas nama PH dan bukan lagi atas nama parti masing-masing.

“Datuk Husam bersetuju untuk membawa persoalan ini kepada pihak pimpinan tertinggi walaupun hasrat untuk mendaftarkan satu simbol belum berjaya,” katanya.