Wanita PH Kelantan siap sedia hadapi kemungkinan banjir

Norashidah dan pemimpin Wanita PH negeri pada sidang media seusai mesyuarat.

Wanita Pakatan Harapan Kelantan menangguhkan program pelancaran hingga Januari depan kerana menumpukan persiapan menghadapi banjir.

Ketuanya Norashidah Jaafar berkata walaupun telah merancang untuk membuat majlis pelancaran bulan ini, menghadapi kemungkinan situasi banjir akan lebih diberi keutamaan.

“Gerak kerja semua unit bagaimanapun akan diteruskan seperti yang dirancangkan.

“Biro-biro utama seperti penerangan, komunikasi dan kebajikan akan segera turun padang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa di Kubang Kerian semalam.

Beliau mengumumkan ketua-ketua biro utama yang diamanahkan kepada empat parti anggota.

“Biro penerangan diketuai Normala Mohd Nadzar dari AMANAH, komunikasi Zaleha Che Kob dari Bersatu, pilihan raya Hajjah Noraini Husin dari Keadilan dan Kebajikan diketuai Irene Tan dari DAP.

“Mulai sekarang semua gerak kerja akan disertai semua parti di bawah satu bumbung Pakatan Harapan,” katanya.

Mengenai pengurusan bantuan banjir beliau berkata Wanita PH akan mewujudkan skuad khas bagi melengkapkan pasukan induk PH negeri.

“Sebelum ini kita telah ada pengalaman menghadapi situasi bencana ini.

“Cuma dulu setiap parti buat secara berasingan dan kali ini kita akan gerak bersama,” katanya.

Mesyuarat yang asalnya dijadualkan di Wisma Tok Guru itu dipindahkan ke sebuah surau berhampiran.

“Kami tidak dibenar masuk ke WTG oleh sekumpulan pengawal dipercayai orang suruhan Mohd Yasin yang kini pemilik tapak itu.

“Sepatutnya kami boleh bermesyuarat di situ kerana telah mendapat kebenaran Adun Salor, Datuk Husam Musa yang telah disahkan pihak mahkamah sebagai pihak yang masih berhak ke atas Wisma Tok Guru,” katanya.

CATEGORIES
TAGS