Wanita PH Kelantan umum senarai jawatankuasa

Wanita PH Kelantan umum senarai jawatankuasa

Norashidah Jaafar

Timbalan ketua wanita AMANAH negeri Kelantan Norashidah Jaafar yang dipilih mengetuai wanita Pakatan Harapan (PH) negeri minggu lalu, mengumumkan struktur kepimpinan sayap itu.

“Seperti yang diamalkan di peringkat pusat, semua ketua-ketua wanita parti-parti anggota menjadi timbalan-timbalan ketua wanita PH.

“Dengan itu Puan Normala Mohd Nadzar (AMANAH), Puan Noraini Husin (PKR), Puan Zaleha Che Kob (PPBM) dan Puan Irene Tan (DAP) akan bersama saya menggerakkan wanita negeri Kelantan,” katanya semalam.

Beliau turut mengumumkan Nur Hidayah Abdullah (PKR) sebagai setiausaha manakala Rozan Rahman (Bersatu) sebagai bendahari.

“Kita juga telah melantik jawatan-jawatan utama yang akan berperanan segera untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

“Pengarah pilihan raya diamanahkan kepada ketua wanita PKR Kelantan Puan Noraini Husin, manakala ketua AWAN Puan Normala sebagai ketua penerangan.

“Untuk memberi fokus kepada aktiviti penerangan melalui media baru, kita melantik ketua Srikandi Bersatu Puan Zaleha Che Kob sebagai ketua komunikasi,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi kerja-kerja kebajikan katanya, mesyuarat bersetuju melantik Puan Irene Tan (DAP) mengetuai biro ini.

“Kebajikan adalah teras utama bagi membantu kesukaran rakyat dalam situasi kritikal seperti sekarang,” katanya.

Bagi memulakan gerak kerja, beliau berkata satu majlis pelancaran wanita PH peringkat negeri dijadualkan akan diadakan pada 11 November depan.

“Majlis ini akan dirasmikan oleh pengerusi PH negeri Datuk Husam Musa.

“Kita akan cuba libatkan pimpinan wanita nasional semua parti-parti dalam PH untuk bersama di majlis ini,” katanya.

Majlis yang akan diadakan di Wisma Tok Guru itu akan melibatkan jentera wanita semua parti dalam PH.

“Saya mohon pemimpin-pemimpin wanita semua parti merancang untuk membuat persiapan bagi menjayakan majlis ini.

“Penyertaan diharapkan termasuk petugas dan aktivis di peringkat negeri, parlimen dan dun,” katanya

Mesyuarat pertama yang diadakan di pejabat PKR negeri itu dihadiri oleh semua wakil-wakil parti anggota PH.