Malaysia Dateline

Wanita PH lapor polis dakwa Mahiaddin tipu Agong tentang jumlah sokongan

Sayap Wanita Pakatan Harapan (PH) malam tadi telah membuat satu laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Wanita PH menegaskan Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut telah menipu Yang di-Pertuan Agong berhubung jumlah sokongan Ahli-ahli Parlimen terhadapnya pada masa ini.

Menerusi laporan polis oleh Timbalan Ketua Wanita PH merangkap Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi bersama Setiausaha Wanita PH, Norhayati Bidin dan Naib Ketua Wanita PKR, Wasanthee Sinnasamy,  mendakwa bahawa Mahiaddin kini tidak mempunyai cukup sokongan selepas 115 Ahli Parlimen tidak lagi mempercayainya sebagai Perdana Menteri.

“Dalam sidang medianya, beliau (Mahiaddin) berkata telah mempersembahkan sejumlah sokongan Ahli-ahli Parlimen yang masih menyokongnya.

“Angka yang beliau persembahkan itu jelas palsu kerana sekitar 115 Ahli-ahli Parlimen telah sepakat menolak kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Jumlah 107 dari kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan lapan dari Umno telah mengisytiharkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap Mahiaddin,” katanya dalam laporan tersebut.

Sehubungan itu, mereka berpendapat Mahiaddin mungkin telah mempersembahkan akuan sokongan palsu kepada Yang di-Pertuan Agong apabila menyembah maklum bahawa masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Wanita PH juga mendesak agar Ahli Parlimen Pagoh itu dapat disiasat segera mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

Untuk rekod, kedudukan PN sebagai Kerajaan Pusat dipertikai apabila hanya memiliki sokongan 103 kerusi Parlimen sekaligus tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sementara itu, blok pembangkang didukung 117 kerusi Parlimen terdiri daripada 89 kerusi Pakatan Harapan (PH) dan 28 kerusi lagi dari parti-parti pembangkang lain.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Namun, Dewan Rakyat pada masa ini hanya mempunyai 220 Ahli Parlimen selepas dua daripadanya meninggal dunia.