Malaysia Dateline

Wanita PH mahu polisi 30 peratus pembabitan wanita termasuk jadi PM dilaksanakan

Wanita Pakatan Harapan (PH) mahu satu polisi dilaksanakan untuk mewajarkan 30 peratus pembabitan wanita termasuklah menjadi perdana menteri.

Pandangan ini dilontar Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika ditanya media kemungkinan 30 peratus itu turut meletakkan wanita sebagai calon Perdana Menteri.

“Buat masa ini polisi kita 30 peratus pembabitan wanita. Ramai calon yang layak, kita melihat bahawa faktor ‘winable posibility’ untuk nak ketengahkan calon wanita. Wanita juga boleh menjadi calon PM,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan selepas Pelancaran Wanita PH Malaysia dan Agenda Wanita Malaysia di Dewan Sri Chempaka, Saujana Impian, Kajang hari ini.

Dalam sidang media sama Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin pula berkata, parti-parti dalam gabungan sedang berusaha untuk menyenaraikan calon-calon bagi pilihan raya.

“Agenda wanita di negara ini dari segi ekonomi, sosial, kebudayaan, politik dan kesihatan untuk memperkasakan wanita Pakatan Harapan.

“Kita juga berjaya melaksanakan agenda yang dibawa wanita PH di Selangor dan Pulau Pinang.

“Dengan PRU akan datang kawasan-kawsaan yang dipertandingkan akan memberikan sokongan yang lebih kepada calon wanita PH. Kita akan turun menjelajah seluruh negara untuk menerangkan agenda wanita PH ini,” ujarnya.

Manakala Timbalan Presiden Wanita PH Chong Eng pula berkata, kami dari PH mahu membuktikan kepada rakyat PH adalah pemerintah yang mendahului kepentingan wanita.

“Kita adalah pemerintah peduli kepada wanita, pemerintah yang berkualiti terutama kepada lebih mesra ibu yang bekerja dengan kehidupan keluarganya.

“Kita harap lebih ramai wanita di Malaysia dapat bersama PH untuk bersama Wanita PH,” ujarnya.

Dalam majlis yang dihadiri seramai lebih kurang 1,000 wanita PH seluruh negeri itu Wan Azizah yang juga Presiden PKR telah menandatangani plug Agenda Wanita Malaysia dan sekali gus melancarkan pembentukan Wanita PH Selangor.

Satu majlis penyerahan Dokumen Agenda Wanita Malaysia (AWM) telah diserahkan kepada Ketua Wanita PH Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.