Malaysia Dateline

Wanita PH kesal Betty turut didakwa

Wanita Pakatan Harapan mendesak agar kerajaan mengendalikan kes Betty Chew Gek Cheng, isteri bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng secara telus dan adil.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Wanita PH memberi amaran tegas agar agensi kerajaan tidak sesekali menjadi alat kepada ahli politik, hanya untuk menenggelamkan suara-suara yang menentang amalan korup dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, penahanan Chew bukan sahaja membangkitkan kemarahan di antara anggota PH, bahkan juga masyarakat umum yang tidak putus menghantar mesej solidariti.

“Ahli keluarga kepada pemimpin-pemimpin politik kerap menjadi sasaran mudah bagi pihak lawan, khususnya di kalangan mereka yang berada di pihak pembangkang.

“Tindakan lapuk dan menjengkelkan ini tidak sepatutnya berlaku lagi. Namun perkara sedemikian terus menjadi senjata ampuh Kerajaan Perikatan Nasional hari ini.

“Ini hanya membuktikan kerajaan tidak serius dalam membawa agenda perubahan ke arah perkhidmatan yang berintegriti, kerana masih membenarkan politik toksik dan dendam berdasarkan pertuduhan yang tidak berasas,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Ketua-Ketua Wanita PH terdiri dari AMANAH, Senator Aiman Athirah Al-Jundi; PKR, Fuziah Salleh; dan DAP, Chong Eng

Pada 7 Ogos, Chew dilaporkan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang yang didakwa akan dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).

Dilaporkan, Chew bukannya disiasat tentang kaitannya dengan projek terowong dasar laut, tetapi sebaliknya dia dikatakan terlibat dengan syarikat swasta, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Sementara itu, Chew menerusi hantaran Facebooknya pada 9 Ogos berkata, bahawa dia terkejut dan bingung bahawa dirinya juga menjadi suspek dalam siasatan SPRM.

Katanya, dia masih sukar untuk memahami tangkapan yang dibuat ke atasnya pada 7 Ogos lalu dan tuduhan AMLA yang dilemparkan terhadapnya.