Malaysia Dateline

Wanita PH Terengganu desak Fatimah Lailati Omar dibebaskan segera

Wanita Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengecam tindakan menahan Bendahari Wanita PH Terengganu yang juga Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Nerus, Fatimah Lailati Omar.

Difahamkan Fatimah telah direman selama tiga hari mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas dipercayai memuat naik status menghina Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di laman sosial.

Menurut Ketua Wanita PH Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar (gambar atas), perintah reman yang dikenakan adalah tidak wajar dan ini memberi persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menganggu gugat pimpinan politik pembangkang sebelum tibanya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Fatimah ditahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas dipercayai memuat naik status menghina MB Terengganu, di laman sosial.

“Ironinya, blogger pro-Umno, Papagomo yang kerap memapar kandungan video fitnah lucah tidak pula ditangkap walaupun berpuluh-puluh laporan polis dibuat orang awam dan kesalahannya terang-terang menyalahi peruntukan undang-undang.

“Adakah pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang diperalatkan oleh kerajaan Umno-BN demi menutup dakwaan skandal besar yang timbul?

“Adakah SKMM telah menjadi perkakas untuk kepentingan kerajaan?” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau lagi, Wanita PH Terengganu mendesak agar pihak berkuasa khususnya SKMM tidak bersikap selektif dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Segala tindakan hanya kepada pembangkang dan perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang demokrasi.

“Justeru, Wanita PH Terengganu mendesak pembebasan segera Fatimah Lailati Omar dapat dilakukan tanpa alasan,” katanya.