Malaysia Dateline

Wanita PH Tumpat yakin mampu kukuhkan gerakan akar umbi

Sambutan terhadap gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) di peringkat akar umbi kini jelas memberangsangkan.

Ketua Wanita PH Parlimen Tumpat, Nik Faezah Othman ( duduk tiga dari kiri) berkata program-program yang disusun kini sentiasa mendapat sambutan semua dari pelbagai parti.

“Terima kasih kerana pemimpin wanita dari AMANAH, PKR dan Bersatu di kawasan kita begitu positif menggerakkan ahli masing-masing,” katanya ketika berucap selepas dilantik sebagai Ketua Wanita PH Tumpat semalam.

Nik Faezah yang merupakan naib pengerusi AMANAH Kawasan Tumpat berkata perlantikan beliau itu amat berat baginya kerana telah memikul banyak tanggungjawab.

“Sebagai pengerusi jawatankuasa DunĀ  Kelaboran, begitu banyak tugas yang terpaksa saya laksanakan kerana kawasan itu terdiri dari penduduk berpendapatan rendah.

“Ini ditambah lagi dengan musibah banjir yang seperti tetap berlaku setiap tahun dalam kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berikrar untuk memberi komitmen terbaik supaya PH berkembang selaras dengan sambutan masyarakat.

“Orang ramai memang kini telah sedar bahawa perubahan mesti dilakukan untuk membina masa depan lebih baik.

“Namun mereka mahu melihat pasukan kita benar-benar mampu untuk menjadi pengganti kepada kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Norashidah Jaafar

Sementara itu Ketua Wanita PH Negeri, Norashidah Jaafar yang turut bersama di majlis itu berharap semua parti-parti anggota PH terus memberi kerjasama.

“Yang penting kita mengutamakan usaha mengukuhkan silaturahim dan bukannya mencari-cari helah persengketaan.

“Semua kita tidak sempurna dan harus mengutamakan sikap bermaaf-maafan atas perkara-perkara yang tidak serasi,” katanya.

Menurutnya sehingga ini lima kawasan parlimen telah berjaya melantik ketua wanita PH masing-masing.

“Kawasan-kawasan lain, InsyaAllah sedang menyusul dan semuanya akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

“Pelancaran wanita PH peringkat negeri akan diadakan selepas berlangsungnya pelancaran peringkat pusat yang dijadualkan 6 Januari tahun depan,” katanya.