Malaysia Dateline

Wanita PH tuntut kerajaan jelaskan pelan vaksinasi fasa kedua

Wanita Pakatan Harapan (PH) menuntut Kerajaan agar menyatakan dengan jelas bagaimana pelan Vaksinasi fasa kedua yang melibatkan warga Emas dan kumpulan rentan akan dilaksanakan dan bila pula jangkaan fasa ini akan berakhir.

Dalam kenyataan bersama, Chong Eng, Fuziah Salleh dan Aiman Athirah Sabu berkata, untuk Malaysia mencapai imunisasi kelompok apabila 75% penduduk menerima vaksin dan negara boleh diisytihar selamat daripada jangkitan Covid-19 malangnya ia masih jauh daripada sasaran.

Program vaksinasi melaui PICK ( Pelan Immunisasi COVID-19 Kebangsaan) telah pun kini masuk ke fasa kedua yang akan melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti yang berpenyakit kanser dan kencing manis, termasuklah juga warga kurang upaya (OKU).

“Umum tahu bahawa sejak ia dilancarkan dengan suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNtech yang diberi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2021, ia menyaksikan bukan hanya jumlah mereka yang mendaftar masih rendah bahkan kadar penerima suntikan vaksin COVID 19 ini juga masih terlalu rendah dengan capaian hanya sekitar 4-5% populasi,” jelas mereka.

Justeru, untuk fasa kedua ini Wanita PH meminta kerajaan mendedahkan berapa ramai yang akan terlibat dan bagaimana pengagihan vaksin dilakukan.

Selain itu katanya kerajaan wajar menjelaskan mekanisma yang digunakan untuk mengesan golongan ini supaya mereka tidak tertinggal daripada menerima vaksin.

Wanita PH juga menyarankan agar Vaksin jenama Pfizer yang didapati paling selamat diberikan untuk wanita Hamil kerana ia juga didapati selamat terhadap anak di dalam kandungan dan anak yang bakal disusukan kelak.

“Kami juga melihat vaksinasi kepada golongan rentan yang spesifik seperti wanita hamil harus juga diberi keutamaan.

“Ibu-ibu ini wajib didaftarkan terus ke dalam program vaksinasi apabila mereka hadir ke klinik rawatan Ibu mengandung.

“Begitu juga pekerja asing Domestik juga adalah golongan spesifik yang dirasakan perlu diberi keutamaan dalam program Vaksinasi ini kerana mereka berpotensi untuk menularkan jangkitan kepada mana-mana ahli keluarga majikan jika mereka didapati positif dengan Covid 19,” katanya.

Sumber data yang dikeluarkan oleh Universiti John Hopkins pada 20 Mei 2021, sangatlah membimbangkan.

Malaysia berada pada kedudukan nombor dua selepas India dalam jumlah kes positif Covid 19 /million populasi, berbanding negara-negara lain dunia seperti Amerika Syarikat, Thailand, Filipina, Jepun dan United Kingdom.