Wanita PH zahir solidariti, seru rakyat libatkan diri dalam kempen henti keganasan terhadap wanita

Oleh KIM SYAZIE

Wanita Pakatan Harapan menyeru setiap anggota masyarakat melibatkan diri secara aktif dalam kempen menentang keganasan terhadap wanita bagi meningkatkan kesedaran tentang impak negatif keganasan terhadap golongan ini kepada kesejahteraan sosial rakyat dalam negara.

Pengerusinya, Aiman Athirah Al Jundi menegaskan bahawa keganasan terhadap wanita bukanlah semata-mata isu wanita, tetapi merupakan isu kesihatan awam yang kritikal.

Menurutnya, dampak pandemik Covid-19 telah menyumbang berkali ganda kesan lebih buruk ke atas wanita dan kanak-kanak seluruh dunia.

“Wanita Harapan bersama masyarakat antarabangsa menolak segala bentuk keganasan terhadap wanita.

“Tatkala segala sumber dan sokongan kesihatan awam ditumpukan bagi menangani penularan wabak Covid-19, dikhuatiri telah menghadkan sokongan kepada para pemandiri khususnya di pusat-pusat krisis sehenti (OSCC) hospital-hospital kerajaan.

“Wanita Harapan berpandangan bahawa peruntukan RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak seperti diumumkan dalam Belanjawan 2022, adalah langkah positif yang sewajarnya ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

25 November setiap tahun diperingati masyarakat antarabangsa sebagai Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita dan menandakan bermulanya kempen antarabangsa 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan.

Kenyataan tersebut dibuat bersama AMANAH Aiman Athirah; PKR, Fuziah Salleh; dan DAP, Chong Eng.

Sementara itu Aiman Athirah berkata, agihan dana dan geran khusus juga harus diberikan kepada pertubuhan-pertubuhan wanita yang telah sekian lama bertindak sebagai barisan hadapan dalam usaha menyediakan kemudahan-kemudahan talian bantuan, pusat perlindungan, nasihat guaman dan khidmat sokongan kepada pemandiri.

Peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan ini katanya, wajar diiktiraf dan dihargai dengan sokongan dana agar inisiatif-inisiatif melindungi para pemandiri dapat terus diperkasakan.

“Wanita Harapan juga menuntut tindakan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Dewan Rakyat pada Disember 2021 seperti mana dijanjikan Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM akhir Oktober lalu,” katanya lagi.