Malaysia Dateline

Wanita PKR akan tingkatkan kesedaran peranan wanita dalam organisasi

Wanita PKR akan terus meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kepimpinan wanita dalam sesebuah organisasi, susulan pengiktirafan kepada tiga syarikat Malaysia yang berjaya disenaraikan dalam Indeks Kesaksamaan Gender (GEI) Bloomberg untuk tahun 2021.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh berkata, pengiktirafan tersebut adalah penting kerana mencerminkan komitmen terhadap amalan dan polisi berkaitan gender di tempat kerja.

Menurutnya, Pakatan Harapan di Selangor, hampir memenuhi kuota 30 peratus wanita dalam lantikan Ahli Majlis, selain melantik seorang wanita sebagai Datuk Bandar, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan juga Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri telah mengumumkan inisiatif baru, “Top-up Women Only Additional Seats (TWOAS) for the State Assembly”.

“Ini adalah usaha memberangsangkan yang akan memastikan kuota 30 peratus wanita boleh dipenuhi dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Fuziah berkata, PKR juga mempunyai dasar 30 peratus kuota wanita untuk jawatan dan peranan kepimpinan di mana ianya telah termaktub dalam perlembagaan parti.

“Salah satu pencapaian yang membanggakan merupakan peningkatan sehingga 22 peratus Ahli Parlimen wanita yang menang dalam Pilihanraya Umum yang lalu,” katanya lagi.

Terdahulu, Maybank, Bursa Malaysia dan Digi.Com antara tiga syarikat dari Malaysia yang berjaya tersenarai dalam Indeks Kesaksamaan Gender (GEI) Bloomberg untuk tahun 2021.

GEI Bloomberg telah menyediakan kerangka kerja bagi syarikat untuk berkongsi prestasi mereka dalam beberapa tonggak iaitu bakat kepimpinan wanita, kesamarataan gaji, budaya inklusif, polisi mengenai gangguan seksual, dan penjenamaan pro-wanita.

Ketiga-tiga syarikat ini telah diiktiraf diantara 380 syarikat dari seluruh dunia dan merangkumi 44 negara.

Perkara ini menurut Fuziah, bukan hanya merupakan tonggak terpenting dalam sektor awam dan swasta, tetapi juga dalam bidang politik.