Malaysia Dateline

Wanita PKR anggap pecat ahli hanya pecahkan parti

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha dalam kenyataan medianya malam ini menyifatkan tindakan memecat anggota hanya akan memecah-belahkan parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu berpendapat anggota akan meninggalkan PKR jika mereka mahu berbuat demikian.

“Tindakan menjejaki anggota-anggota untuk dipecat hanya akan memecah-belah serta melemahkan lagi parti.

“Wanita PKR mengambil pendekatan bahawa sekiranya ada anggota-anggota yang ingin meninggalkan parti, mereka telah pun berbuat demikian,” tegasnya.

Menegaskan sayap parti itu tidak mengkhianati teras perjuangan parti, Haniza menggesa supaya kesemua kepimpinan dan anggota PKR merapatkan saf.

Beliau menasihatkan keadaan tidak harus diburukkan dengan menambah kepada kucar-kacir yang melanda parti itu sejak kejatuhan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH).

“Kami mengambil pendirian untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak mencampuri kemelut yang berlaku dalam Pakatan Harapan.

“Wanita PKR tidak boleh berada di situasi yang boleh memecahkan kesatuan wanita kerana ia mampu menjejaskan gerakan dan kerja untuk rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliay berharap keadaan kemelut dan keadaan tidak menentu pada masa ini dihadapi oleh parti dapat diatasi dalam masa yang terdekat untuk membolehkan pembangunan ekonomi dan negara diberi tumpuan.

“Wanita PKR juga akan berpegang kepada prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara dan menjemput 14 orang ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat yang mahu mendengar pendirian kami, untuk secara berhemah hadir serta berbincang dalam mesyuarat.

“Kita semua perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga hari ini dan merungkai kenapa kita gagal dalam usaha mengangkat presiden sebagai Perdana Menteri Ke-8,” tambahnya lagi.

Kenyataan Haniza susulan pengumuman Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengeluarkan bekas Menteri Besar, Azmin Ali yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Adun Gombak Setia, Hilman Idham daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Terdahulu, kedua-dua mereka telah dipecat dari PKR sebagai anggota parti berkuat kuasa serta-merta pada 24 Februari lalu.

Turut dipecat pada masa itu kerana dianggap melakukan pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan PH ialah bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.