Wanita PKR harap pucuk pimpinan beri peluang wanita pimpin negeri

Wanita PKR  harap pucuk pimpinan beri peluang wanita pimpin negeri

Ketua Wanita PKR Haniza  Mohamed Talha yakin wanita parti itu mampu memikul tanggungjawan sebagai Pengerusi Pimpinan Negeri Pulau Pinang sekiranya pucuk pimpinan parti memberikan peluang.

Beliau berkata,jika diberikan peluang, beliau menyakini wanita PKR akan mampu menunjukkan prestasi mereka.

“Sudah tentu sayap wanita lebih suka jika calon wanita dilantik.

“Saya yakin ada wanita yang mampu memikul jawatan pengerusi negeri. Ini kerana sebelum ini wanita tidak pernah diberikan peluang.

“Sedangkan pimpinan wanita selalunya ke hadapan berbanding sayap lain dalam parti,” ujarnya dalam sidang media diadakan selepas hadir dalam Majlis Hi-Tea Pimpinan Wanita Pusat Bersama Media, di salah sebuah hotel di Ampang hari ini.

Turut  hadir Timbalan Ketua Wanita PKR Dr Dorayah Alwi dan barisan AJK  Wanita Pusat dan  Ketua Wanita PKR Negeri  yang memenangi jawatan  dalam pemilihan parti bagi penggal baharu 2018-2021

Ketika ditanya adakah wanita Pulau Pinang pernah membawa nama kepada kepimpinan pusat untuk mengisi jawatan Pengerusi Pimpinan Negeri yang  dilepaskan Nurul Izah Anwar.

Beliau berkata tiada keperluan untuk wanita PKR berbuat demikian.

“Tidak perlu sayap wanita bawa nama (kemukakan nama kepada pimpinan pusat).

“Jika parti melihat kemampuan wanita sudah terserlah…pilih sajalah.

“Jika lelaki tiada siapapun akan  kemukakan nama, boleh saja pihak pimpinan memilih mereka. Apa yang membezakan antara lelaki dan wanita? Mengapa kami perlu mengemukakan nama.

“Dan kami tidak mahu dilihat seakan mengawal tindakan presiden. Tetapi kita berharap secara demokratiknya akan memilih calon terbaik dan pilihlah wanita.

“Begitu juga dengan jawatan naib presiden… saya agak kecewa 20 jawatan lantikan tersebut hanya satu sahaja wanita… ia hanya dilihat seperti tokenisme,” ujarnya yang merujuk kepada jawatan Naib Presiden yang dilepaskan oleh Nurul Izzah kini diganti tempatnya atas lantikan diserahkan kepada Rafizi Ramli  yang kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden parti tahun lalu untuk mengisi kekosongan kerusi Naib Presiden.

.Semalam Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dipetik berkata parti itu memerlukan sedikit masa lagi bagi membincangkan mengenai pelantikan Pengerusi PKR Pulau Pinang baharu memandangkan parti berkenaan baru selesai melantik pengerusi-pengerusi negeri di seluruh negara.

Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin baru-baru ini supaya Anwar segera melantik Pengerusi PKR Pulau Pinang bagi memastikan sebarang keputusan dalam pentadbiran kerajaan negeri membabitkan parti itu dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.