Wanita PKR harus kekal sokong Presiden dan parti, kata Jingga 13

Wanita PKR harus kekal sokong Presiden dan parti, kata Jingga 13
Liny Obliza

Jinggawanis Jingga 13 Malaysia menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha mengenai tindakan ketua-ketua cabang parti mengumpul tandatangan sebagai bukti sokongan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai membuang masa.

Koordinator Jinggawanis, Jingga 13 Malaysia, Liny Obliza berkata, seharusnya sokongan diberikan sekaligus, ia menafikan gambaran negatif pelbagai pihak seolah-olah PKR kini berada di ambang perpecahan.

“Sebagai Ketua Wanita, beliau sewajarnya memperlihatkan sikap lebih profesional dengan menghormati Presiden dan menyelesaikan sebarang perbezaan serta percanggahan pendapat secara tertutup dan lebih tertib.

“PKR sebagai sebuah parti yang senantiasa memperjuangkan nasib rakyat harus menggalas tanggungjawab dan merealisasikan harapan rakyat seluruhnya untuk mencapai taraf kehidupan yang jauh lebih baik.

“Malah menunaikan hasrat rakyat ini juga menjadi perhatian utama Presiden untuk dijadikan realiti dan perlu diberi dokongan dan sokongan, ” ujarnya.

Haniza baru-baru ini menyifatkan tindakan mengumpul tandatangan ketua-ketua cabang seluruh negara sebagai sokongan kepada Presiden sebagai membuang masa.

Dakwa beliau, usaha tersebut hanya menimbulkan kekeliruan dikalangan akar umbi.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Adun Pinang Tunggal turut menyeru semua pihak supaya akur dengan sokongan ketua-ketua cabang yang diperolehi oleh Anwar.

Seterusnya kata beliau, isu peralihan kuasa Perdana Menteri ke 8 kepada Anwar tidak lagi menjadi polemik kerana kesepakatan telah pun dicapai melalui perjanijan yang telah dimeterai di Shah Alam sebelum pilihan raya umum pada Januari 2018 yang lalu.