Malaysia Dateline

Wanita PKR Sarawak ingatkan Karim jangan pertikai kebolehan atlet muda

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak melihat kenyataan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkenaan penghargaan terhadap pencapaian Pandelela Rinong sebagai satu terimidatasi dan dengki dengan kejayaan yang diraih oleh seorang atlet wanita muda dari negeri ini.

Dalam satu kenyataan, Wanita PKR Sarawak berkata, adalah tidak wajar Abdul Karim memperlekehkan kebolehan anak muda yang merupakan wanita pertama Malaysia pembawa bendera pada Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 di London dan mencatat sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (pingat gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform wanita dan atlet negara kedua memenangi pingat Olimpik 2012 di London selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton.

Kata Wanita PKR Sarawak, terkini penerjun tersebut telah berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Piala Dunia Terjun di Tokyo minggu lalu.

“Wanita PKR Sarawak berpendapat Pandelela sememangnya layak menerima penganugerahan dan kami ingin bertanya apakah sumbangan Menteri Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Sarawak dan Menteri Belia & Sukan Sarawak Abdul Karim Hamzah kepada Malaysia dan Sarawak di persada antarabangsa?

“Pemberian anugerah kepada individu yang mengharumkan nama Malaysia di mata dunia adalah satu tindakan yang wajar dan tidak seharusnya didengki.

“Umur dan gender seseorang tidak sepatutnya menjadi kayu ukur atau persoalan dalam pemberian anugerah lebih-lebih lagi apabila sudah mengharumkan nama negara,” soal Wanita PKR Sarawak.

Tambah Wanita PKR Sarawak lagi, Datuk Nicol Ann David dianugerahkan gelaran Datuk pada 2008 ketika berusia 25 tahun dan tiada kajian saintifik yang membuktikan setelah menerima gelaran Datuk, prestrasi Ratu Squash itu jatuh merudum mahupun tampil bersikap ‘spoiled’ seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim.

“Agak melucukan apabila Abdul Karim mengunci mulut apabila menteri yang mengkianati mandat rakyat dan tidak memberikan sumbangan positif mahupun mengharumkan nama negara dianugerahkan gelaran Datuk.

“Justeru, Wanita PKR Sarawak berpendapat memanipulasikan faktor usia sebagai kayu ukur dalam mempertimbangkan kelayakan seseorang menerima penganugerahan Datuk adalah satu mentaliti sempit dan cerminan seorang yang terintermidasi dengan pencapaian wanita muda ini.

“Alasan Pandelela tidak layak dianugerahkan Datuk atas alasan juara terjun itu tidak akan dapat menikmati masa mudanya adalah satu kenyataan yang tidak munasabah,” tegas Wanita PKR Sarawak lagi.

Sehubunan itu, Wanita PKR Sarawak menyarankan Abdul Karim untuk berhenti bersikap seperti setahun jagung dan seharusnya menunjukkan kematangan dengan menghargai pengorbanan atlet negeri ini khasnya kepada Pandelela yang banyak melakarkan sejarah dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.