Wanita raih RM100k sebulan rezeki jual pokok bunga hiasan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita tidak menyangka minat menanam pokok hiasan bunga nenas atau bromeliad mampu menjadi sumber pendapatan lumayan buatnya.

Norhasnida Arifin, 35, berkata, dia mampu meraih RM100,000 sebulan dengan hanya menjual tanaman hiasan itu dengan tempahan banyak dibuat oleh nurseri di beberapa tempat seluruh negara.

Katanya, dia mula fokus dengan tanaman tersebut selepas diperkenalkan seorang pelanggan sebelum menjadikan ia sebagai koleksi peribadi.

“Saya menjualnya dan kini menjadi pembekal bromeliad kepada peniaga nurseri di beberapa tempat di seluruh negara.

“Saya mendapatkan bekalan dari Thailand dan sekarang dengan menjual bromeliad ini, saya berjaya menjana hasil jualan mencecah RM100,000 sebulan,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kerana sebelum ini dia mengusahakan perniagaan kosmetik namun gagal.

Bercerita mengenai tanamannta, Norhasnida berkata, dia menjual bromeliad spesies neoregelia kerana harganya yang lebih murah iaitu serendah RM10 untuk sepokok bergantung kepada saiz.

“Neoregelia ini banyak mendapat permintaan kerana ia mesra poket. Saya juga kini sedang membiakkan spesies vriesea yang anak pokok spesis ini banyak boleh didapati di Australia dan saya beli dari pembekal di Thailand pada harga RM800 sepokok,” katanya memberitahu pokok bromeliad spesies vriesea itu boleh dijual pada harga sehingga RM1,000.

Baca juga: “Tak sangka hubungan aku dan suami dingin angkara kolestrol tinggi, nasib sempat jumpa pakar”