Malaysia Dateline

Wanita ramai berkebolehan tidak perlu hadkan kuota 30 peratus dalam perkhidmatan awam

Tidak perlu mengehadkan pengisian wanita dalam jawatan pengurusan tinggi di sektor awam dan swasta pada kuota 30 peratus kerana kini terdapat ramai wanita yang berkelayakan, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata pada masa ini golongan wanita mempunyai pelbagai kebolehan dan berkelayakan serta mampu bersaing dengan golongan lelaki.

“Sebagai contoh, sekarang ini ketua editor dalam agensi media umpamanya ramai wanita yang menguasainya, juruterbang pun sudah ramai wanita, jadi kenapa perlu hadkan kuota 30 peratus kepada golongan wanita.

“(Kuota) 30 peratus itu hanya untuk kadar terendah negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Pangkor 2019 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan akan terus komited untuk meningkatkan penyertaan wanita di peringkat kepimpinan yang mana ketika ini dalam sektor awam hampir 36 peratus daripada mereka dalam kumpulan pengurusan tertinggi adalah wanita.

Dr Wan Azizah berkata antara inisiatif diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita memegang jawatan di peringkat lembaga pengarah termasuk mewujudkan Kelab 30%, iaitu sekumpulan pengerusi pertubuhan korporat dan pemimpin perniagaan yang menjalankan kegiatan untuk menyediakan pelbagai program mentor untuk menyediakan wanita sebagai ahli lembaga pengarah.– BERNAMA