Wanita sanggup redah banjir, tarik jasad suami sendirian sejauh 100 meter

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka, tindakan suami yang melarangnya keluar daripada rumah rupanya menjadi petanda bahawa lelaki itu akan pergi buat selama-lamanya.

Terkorban dalam bencana banjir, wanita dikenali sebagai Nurzubaila itu memberanikan diri meredah air bah demi menarik jasad suami untuk pulang ke rumah sejauh kira-kira 100 meter (m).

Dalam insiden yang berlaku di Kampung Bakat, Rantau Panjang, Kelantan itu, salah seorang penduduk memaklumkan Nurzubaila bahawa suaminya terjatuh dari perahu.

Susulan itu, Nurzubaila bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat suami, Mohd Kamaruddin Mohamed Yahya hampir tenggelam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kerana tidak berdaya mengangkat Kamaruddin masuk ke dalam perahu, Nurzubaila terpaksa menarik jasad suami dengan memegang bahagian leher hingga ke rumah.

Memetik laporan Buletin TV3, kejadian yang meruntun jiwa tersebut difahamkan berlaku di Kampung Bakat, 4 Disember (semalam), kira-kira pada pukul 2 petang.

“Disebabkan bimbang suami dihanyutkan arus deras banjir, saya memberanikan diri menariknya sendirian sambil menaiki perahu yang dikayuh seorang penduduk.

‘Saya dapat merasakan suami sudah meninggal dunia kerana dia langsung tidak memberikan sebarang respons. Sebaik saja sampai, saya bersama anak-anak mengangkatnya ke dalam rumah.

“Sementara itu, jiran meminta bantuan pihak bomba. Saya bersama empat anak beberapa kali memanggil namanya tetapi tidak bersahut,” kata wanita berusia 36 tahun itu memetik laporan Buletin TV3.

Jelas pemilik nama sebenar Norzubaila Ramli itu, mereka sekeluarga sebenarnya sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kelmarin sejak rumah dinaiki banjir.

Namun sekitar pukul 12 tengah hari semalam, suaminya yang berusia 44 tahun itu mengajaknya pulang sebentar untuk melihat keadaan rumah sambil mengangkat pukat.

“Kami singgah di rumah dulu untuk meninggalkan anak-anak dan berjanji mahu mengangkat pukat bersama-sama. Bagaimanapun, dia kemudian menyuruh saya memantau anak-anak di rumah saja.

“Malah pada mulanya, salah seorang anak kami sudah berada di dalam perahu tetapi suami menyuruh anak turun kerana tidak mahu ada yang ikut bersama.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang terjadi tetapi reda dengan ketentuan Ilahi, selain berharap segala proses menguruskan jenazah dapat diselesaikan segera.” Ulasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Mengulas lanjut, Kama memaklumkan bahawa anggota bertugas kemudian membawa mayat mangsa ke Unit Forensik, Hospital Pasir Mas, untuk dibedah siasat.

Baca juga: Tak putus asa berniaga, Mila Jirin sasar bayar zakat RM1 juta