Malaysia Dateline

Wanita sebagai semak imbang kestabilan politik negara

Sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional berpendapat, keberadaan wanita dengan jumlah yang wajar dan kuat dalam landskap politik tanah air diyakini mampu memainkan peranan sebagai semak imbang yang berkesan.

Menurut Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi, jumlah yang wajar itu dilihat mampu bertindak sebagai semak imbang yang berkesan dalam memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan Malaysia.

Beliau berkata, sebagai insan-insan yang lebih halus naluri, fokus, setia dan prihatin fitrahnya, wanita mampu memastikan politik dan pentadbiran negara berjalan lebih fokus, cermat dan menghormati mandat rakyat.

“Selain itu katanya, ia juga mengenepikan agenda rakus politikus-politikus yang sering mengutamakan kepentingan peribadi, posisi dan kuasa berbanding kepentingan masyarakat, rakyat jelata dan negara.

“Jurang gender yang tinggi dalam penguasaan politik juga menunjukkan bahawa kita masih memerlukan ramai golongan wanita untuk terus terlibat dalam politik dan memegang jawatan penting dalam parti-parti politik.

“Contohnya, usaha pihak kerajaan sebelum ini untuk membentangkan satu Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual pada sidang Parlimen yang akan datang ini merupakan satu usaha yang sangat baik untuk memberikan perlindungan kepada semua golongan khususnya wanita.

“Undang-undang seperti ini adalah satu keperluan untuk meningkatkan penglibatan golongan wanita dalam sektor pekerjaan termasuklah sektor politik yang sangat terdedah dan mencabar.

“Undang-undang dan dasar seperti ini biasanya digerakkan dan dipandang penting oleh aktivis dan pembuat dasar yang terdiri daripada kalangan wanita,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Namun Aiman Athirah berkata, penglibatan golongan wanita dalam politik masih berada di tahap peningkatan yang kurang memberangsangkan.

“Dalam Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) tahun 2019 menunjukkan bahawa, penguasaan wanita dalam bidang politik masih merupakan jurang yang paling tinggi berbanding sektor lain seperti peluang & penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan dan juga bidang kesihatan dan kehidupan.

“AWAN Nasional juga berhasrat untuk melihat beberapa aspek penting yang perlu dan terus diberikan penekanan untuk pencapaian wanita yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

“Hari Wanita Sedunia pada tahun ini dengan tema yang telah dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini iaitu ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ perlu dimaknai oleh kita semua,” ujarnya lagi.

Aiman Athirah berpandangan, adalah lebih baik tarikh sambutan rasmi Hari Wanita, sama ada di peringkat dunia dan kebangsaan, diselaraskan dengan tanggal 8 Mac setiap tahun.

“Sambutan Hari Wanita peringkat Kebangsaan pula diadakan pada tanggal 25 Ogos setiap tahun.

“Wujud perbezaan pendapat tentang tarikh ini kerana sebahagiannya menyifatkan tarikh tersebut hanyalah mewakili kepentingan segelintir iaitu sempena sejarah penubuhan Ibu Umno.

“Yang sekali gus tidak zahir daripada pertimbangan yang barangkali adil untuk semua wanita yang realitinya terdiri daripada pelbagai latarbelakang sosial dan ideologi perjuangan serta ideologi politik masing-masing, namun ada juga yang berpendapat ia tidak berkaitan seperti yang didakwa.

“Apa yang lebih utama dan penting terhadap sambutan ini adalah semangat kebersamaan dan kesedaran masyarakat dunia untuk menghormati kewujudan wanita sebagai rakan kongsi kehidupan yang setara dengan kaum Adam,” ujarnya lagi.