Wanita sudah tiba masa dilantik jadi Menteri Dalam Negeri, kata Hannah Yeoh

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh berpendapat sudah tiba masanya untuk jawatan Menteri Dalam Negeri dipegang daripada golongan wanita.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk jawatan tersebut.

Hannah berkata bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sesuai diberi pertimbangan memandangkan Kementerian Dalam Negeri sudah sekian lama diberikan kepada golongan lelaki.

“Saya rasa sekarang ini, memandangkan Azalina sudah bukan Timbalan Speaker, dia boleh menjadi calon utama (frontrunner) untuk dipilih menerajui kementerian penting.

Hannah Yeoh

“Banyak kali kita lihat Kementerian Dalam Negeri ini sebagai jawatan yang berkuasa, diberikan kepada lelaki-lelaki senior dalam mana-mana parti politik.

“Tetapi ada banyak isu membabitkan kewarganegaraan, perkahwinan dan perceraian. Semua ini di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kanak-kanak tanpa warganegara juga merupakan isu-isu penting yang mesti ditangani. Malangnya, kita belum lihat seorang menteri dalam negeri yang menangani isu-isu ini.

“Jadi, saya fikir adalah bagus untuk perdana menteri melantik Azalina sebagai menteri dalam negeri,” kata Hannah hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, jika tidak boleh diberikan Kementerian Dalam Negeri, mungkin Azalina boleh dilantik sebagai Menteri Undang-Undang atau Menteri Wanita.

“Lagi bagus (kalau dapat) ketiga-tiga sekali,” katanya dalam temu bual bersama media tempatan yang turut dikongsi di Twitter beliau hari ini.

Semalam, Azalina disahkan meletak jawatan sebagai Timbalan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ekoran pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Semasa menjadi Timbalan Dewan Rakyat, beliau dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak dan demokrasi berparlimen yang digantung akibat proklamasi darurat, lapan bulan lalu.

Azalina pada Julai tahun lalu mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Bekas menteri itu juga satu-satunya calon dikemukakan ke jawatan berkenaan tahun lalu dan diusulkan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bagi menggantikan Nga Kor Ming dari DAP yang meletak jawatan.