Wanita terbuang cincin berlian RM175k, pekerja pembersihan terpaksa selongkar 11 tan sampah

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita kehilangan cincin berlian miliknya bernilai 1 bilion dong (RM175,000) selepas ianya dibuang secara tidak sengaja tanpa disedarinya.

Wanita di Bandar Da Nang, Vietnam itu sedang membersihkan rumahnya dan membuang banyak barang yang tidak digunakan, termasuklah kotak barang kemas yang mempunyai berlian di dalamnya.

Chau Thi My Ho hanya menyedari perkara tersebut selepas membersihkan rumahnya.

Lebih malang, sampah yang dibuangnya telah pun diangkut ke tapak pelupusan sampah.

Menurut AFP, Chau kemudian bergegas ke tapak pelupusan sampah dan meminta pekerja membantunya mencari cincin tersebut.

Walaupun pekerja sudah ‘letih’ dengan kemasukan jumlah sampah yang besar, mereka bersetuju untuk membantu Chau mendapatkan semula barang kemas tersebut kerana nilainya yang tinggi.

Mereka memunggah 11 tan sampah dari trak dan mencari cincin itu.

“Ajaibnya, seorang pekerja, Lam Minh Hai ternampak kotak barang kemas itu di sebalik sampah,” kata Pengarah Perusahaan Pengurusan dan Rawatan Sisa, Mai Xuan Phuoc.

Cincin tersebut dikembalikan kepada Chau yang mengucapkan terima kasih dan menawarkan sokongan kewangan kepada pekerja-pekerja terlibat kerana membantunya.

Syarikat tersebut bagaimanapun menolak tawaran wanita itu.

Baca juga: Polis tahan pasangan umur 20-an, berkait kes tipu isteri Along Cham tukar hukuman suami