Berniaga biar ikhlas, wanita terkejut beli ‘chicken chop’ tapi dapat hirisan ayam dengan sehelai sawi

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa dan terkejut melihat hidangan chicken chop yang dipesannya dari sebuah gerai.

Ia tidak seperti yang biasa dihidangkan di mana-mana kedai.

Lebih membingungkan, ayam yang terlihat seperti hirisan ayam goreng kunyit itu hadir dengan beberapa helai sawi yang dicelur.

Wanita itu dalam hantaran di Facebook kehilangan kata-kata apabila membuka bungkusan chicken chop yang dipesannya.

“Entahlah nak cakap macam mana. Tak pernah dibuat orang makan chicken chop dengan sayur sawi,” katanya dalam satu hantaran di laman kumpulan Facebook Penduduk Yan Kedah.

Dia juga sempat memberi nasihat supaya para peniaga lebih ikhlas dalam berjual beli dan bukannya asal boleh.

“Berniaga biar ikhlas, orang beli nak makan bukan nak buang. Berniaga makanan ni biar patut dengan harga. Jangan asal boleh je,” tegurnya dalam hantaran itu.

Wanita itu bagaimanapun tidak mendedahkan berapa harga makanan yang dibelinya, namun mendakwa lokasi gerai terletak di Kampung Sungai Limau, Yan, Kedah.

Hantaran itu berjaya menjadi perbincangan hangat penduduk setempat dan pengguna media sosial yang sehingga kini diulang kongsi hampir 800 kali dengan lebih 6,000 tanda suka.

Di ruangan komen, orang ramai mengecam perbuatan peniaga berkenaan yang pentingkan diri dan tidak pentingkan kualiti.

Mereka juga mengakui tidak pernah melihat chicken chop seperti itu, beranggapan peniaga sekarang lebih suka ikut trend berjualan tetapi tidak mempunyai kemahiran.

Malah kata mereka, ia langsung tidak menyelerakan dan menyamai ayam goreng kunyit dipotong kecil-kecil.

Baca juga: 13 tahun kerja kedai emas, wanita kongsi tip mudah bersihkan barang kemas di rumah