Isteri manakah yang tidak terluka apabila sang suami sanggup berkorban apa sahaja demi kucing peliharaan namun tergamak mengabaikan tanggungjawabnya terhadap pasangan.
Lebih memburukkan keadaan, suami berkenaan juga sering kali memberikan alasan setiap kali isterinya meminta pertolongan terutama untuk membuat pekerjaan dalam rumah.
Walau bagaimanapun, lelaki itu sebaliknya dengan rela hati berbakti kepada kucing kesayangannya walaupun binatang peliharaan berkenaan tidak pernah ‘meminta pertolongan’.
Perkongsian tersebut dibuat oleh sang isteri tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
“Adakah normal apabila kita rasa cemburu dengan kucing? Suami saya ini sanggup lakukan apa sahaja demi kucing. Tetapi kalau saya minta tolong, macam-macamlah alasan dia bagi.
“Bayangkan najis kucing, hari-hari dia uruskan (buang). Tetapi sampah dekat rumah ini, tunggu saya bebel dahulu barulah dia nak tolong buang,” kata isteri itu di dalam perkongsian tersebut.
Dalam hantaran yang sama, wanita itu juga mengakui terasa hati apabila suaminya lebih memilih untuk mengutamakan keperluan kucing peliharaan berbanding isterinya sendiri.
“Sampaikan makanan kegemaran kucing habis, sangguplah suami pergi cari dekat kedai haiwan peliharaan yang jauh-jauh itu. Tetapi kalau saya minta belikan mee goreng alasan dia mengantuklah, apalah.
“Padahal kedai mamak dekat rumah sahaja. Arghh benci.” Kongsi wanita berkenaan meluahkan perasaannya dalam perkongsian yang sudah meraih 104,200 tontonan di platform X itu.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa simpati terhadap layanan yang diterima pengadu malah ramai juga pengguna tampil memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Jadikan kucing itu lebih bermanja dengan puan berbanding suami. Mesti suami puan akan rasa jengkel nanti. Cuba jadi lebih kreatif dan licik, macam kucing juga. Cemburu itu normallah,” kongsi seorang pengguna.
“Tunggulah suami itu demam pula nanti. Suruh kucing itu yang jaga dia dan tolong buatkan bubur nanti.” Kata pengguna lain yang geram dengan sikap suami pengadu.