Malaysia Dateline

Wanita terus cekal hadapi pelbagai cabaran

Wanita di negara ini tetap bersemangat dan boleh dikatakan sebagai mempunyai jiwa yang kental dalam menghadapi pelbagai cabaran yang menimpa mereka.

Penghargaan itu disuarakan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Nor Hayati Bachok yang menyatakan kekuatan mental adalah bekalan utama kaum hawa itu mempunyai jiwa yang kental.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani berkenaan, wanita perlu menjadi lebih luar biasa dalam menghadapi situasi Covid-19 yang melanda negara hari ini.

“Ternyata wanita di negara ini hebat dan kental walaupun tidak ada santunan khusus daripada pihak kerajaan, namun mereka masih mampu berdiri dalam situasi hari ini.

“Bukan sahaja soal wabak Covid-19 yang mencengkam kesihatan tetapi ia juga melibatkan ekonomi dan sosial rumahtangga.

“Namun, dalam keadaan sebegini persekitaran dan institusi yang kondusif bagi wanita, dasar peduli wanita dan sokongan moral terhadap wanita perlu juga diberikan perhatian oleh pelbagai pihak,” katanya dalam perutusan Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Nor Hayati turut menggesa kerajaan agar tidak memandang ringan berkenaan peranan strategik wanita dalam membangunkan negara.

Tegasnya, golongan wanita dan institusi keluarga perlu terus menjadi agenda keutamaan kerajaan dan diberikan perhatian dalam institusi keluarga oleh kerajaan di negara ini.

“Kita juga mahu kerajaan memandang serius dalam memberikan maklumat serta bantuan dari segi kewangan, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan psikososial psikolgi kepada golongan wanita.

“Kempen-kempen kesedaran berkenaan dengan peranan wanita perlu dipertingkatkan diterapkan. Kita tidak mahu wanita menjadi mangsa dalam pelbagai situasi terutama dera penderaan, keganasan rumah tangga dan gangguan seksual.

“Apa yang kita lihat hari ini terdapat pelbagai isu yang menimpa kaum wanita seperti penderaan, penceraian dan sebagainya.

“Kerajaan perlu segera membincangkan isu ini serta melaksanakan langkah-langkah segera tertentu bagi menyelesaikan masalah tersebut,” tambah Nor Hayati lagi.