Wanita Umno Muslimat Pas anjur program parti dalam masjid?

Wanita Umno Muslimat Pas anjur program parti dalam masjid?

Penggunaan masjid dan surau dalam aktiviti yang jelas membawa mesej politik kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Ketua Agama di negeri ini.

Malangnya, Pemuda AMANAH Perak mendapati sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti telah dijalankan di masjid dan surau sekitar negeri Perak.

Menurut Ketuanya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim antaranya adalah program yang dianjurkan oleh Wanita Umno dan Muslimat PAS Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dan Masjid Al-Khairiah Kg Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Malaysia.

Katanya, surau lain yang digunakan untuk menganjurkan program atas nama parti adalah Surau Klebang Prima yang membawa kain rentang berlogo parti Umno dan PAS di dalam masjid, dan Surau Al-Ittihad di Kampung Temiang Ipoh yang membawa Timbalan Presiden PAS dalam program tersebut.

“Apa yang lebih menyedihkan adalah program-program tersebut dijalankan dengan pengetahuan AJK Masjid dan tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengekang perkara tersebut,” katanya.

Jelas beliau, tindakan yang dibuat oleh kedua-dua parti ini tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa DYMM Tuanku Sultan dan mencabar kredabiliti JAIPk dalam menguatkuasa peraturan sedia ada.

“Kami menggesa supaya semua pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini terutamanya JAIPk agar bertindak lebih profesional dan memantau setiap aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau selaras dengan titah DYMM Tuanku Sultan yang melarang Masjid dan surau dijadikan pentas permainan politik,” jelas beliau dalam kenyataan.

Pemuda AMANAH Perak juga menggesa agar semua pihak terutamannya Umno dan Pas menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan masjid dan surau di negeri ini dengan berselindung di sebalik program keagamaan.

“Kami juga ingin menasihatkan kepada semua AJK Masjid dan surau yang dilantik agar dapat bertindak tegas dalam perkara ini meskipun ada sebahagiannya yang cenderung menyokong parti-parti tertentu tetapi usaha memelihara kesucian masjid dan surau dari pengaruh politik kepartian mestilah menjadi keutamaan,”katanya.

DYMM Sultan ketika menjadi Raja Muda Perak pernah menitahkannya pada majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan Perak dan pegawai tadbir agama daerah di Kompleks Islam di Ipoh antara lain menegaskan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik, sebaliknya hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah.

Perkara ini turut diberi peringatan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Dato Mohd Yusup Husin April lalu supaya Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013 dipatuhi.