Wanita Umno Selangor rasai kehilangan Noriah, jenazah tiba malam ini

Wanita Umno Selangor rasai kehilangan Noriah, jenazah tiba malam ini

Pemimpin Wanita Umno Selangor melahirkan kesedihan dengan berita kemalangan nahas helikopter membabitkan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga allahyarham Datuk Noriah Kasnon kerana kemalangan itu turut membabitkan suaminya Asmuni Abdullah.

Rosni secara peribadi sudah lama mengenali allahyarham ketika beliau menjadi setiausaha bahagian di Selangor.

“Allahyarham seorang pemimpin yang mudah didekati. Sangat sedih dan terasa kehilangannya.

“Kita tidak menduga ajal yang akan menjemputnya lebih awal dalam trajedi trajis itu.

“Kami wanita Umno di pusat telahpun membatalkan program Karnival Skuad Sayang United yang dijangka akan dirasmikan oleh perdana menteri pada Ahad ini ditunda pada hari lain, setelah menerima berita sedih ini petang semalam,” ujarnya ketika di hubungi Malaysia Dateline malam tadi.

Begitu juga dengan Adun Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan berkata, beliau pernah bekerja di bawah Allahyarham Noriah pada 2002 ketika arwah menjadi Penolong Setia usaha Wanita Umno Negeri Selangor.

“Saya ketika itu menjadi setiausaha kerjanya. Kami memang sudah kenal lama dalam parti.

“Dia seorang pemimpin yang sentiasa berfikiran positif, memahami orang sekeliling dan mudah bekerjasama sebagai rakan sekerja.

“Kehilangannya amat terasa kerana arwah adalah salah seorang pemimpin wania di Selangor yang berpotensi di peringkat bahagian, negeri dan pusat,” ujarnya yang mana kali terakhir bertemu Noriah pada majlis bersama Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil awal April lalu.

Allahyarham Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kelihatan lebih banyak berdiam diri kebelakangan ini, kata Setiausaha Sulitnya Abidin Supardi.

Abidin yang sudah 12 tahun menjadi setiausaha sulit Noriah berkata, “Semasa di dalam helikopter kami datang ke Betong, saya tengok beliau banyak berdiam diri,” kata Abidin yang pernah menaiki helikopter bersama Noriah sebelum kejadian berlaku ketika berkempen.

(dari kiri) Datuk Jamal  Md Yunos, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Noh Omar  antara rakan yang sedang menanti  jenazah Allahyarham Noriah dijangka tiba pada malam ini.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Hospital Umum Sarawak seperti dilapor Bernama malam ini.

Abidin berkata setelah membuat pengecaman dari segi pakaian dan anggota badan, beliau mengesahkan ia adalah mayat Allahyarham Noriah.

Mayat allahyarham Noriah telah ditemui oleh pasukan SAR pada jam 12 tenghari ini sebelum di bawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat pada jam 3.15 petang tadi.

Dalam perkembangan terkini Malaysia Dateline turut dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk  Seri Noh Omar, jenazah akan tiba di lapangan terbang tentera udara diraja (TUDM) Subang pada jam 11 malam ini.

Jenazah dijadualkan akan disolatkan di Masjid Sungai Burong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit 2 Sungai Burong malam ini.

“Saya di rumah allahyarham sedang berbincang dengan keluarganya. Jika jenazah sampai jam 9 malam di tudm subang dijangka jam 10.30 malam  akan tiba di kampongnya Batu 12 Sungai Burong dan akan disolatkan di masjid Sungai Burong kemudian dikebumikan di Parit 2 Sungai Burong.

“Sekiranya jenazah  sampai di Sungai Burong selepas jam 12 malam maka pengkebumian akan dibuat jam 9 pagi esok.” ujarnya di dalam whatapps yang diterima.

Di Sarawak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan jemaah lain menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Noriah di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching malam tadi.

Turut sama menunaikan solat jenazah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota keluarga Noriah.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.

TAGS