Wanita Umno sokong hasrat Kerajaan semak semula Perjanjian Air 1962

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Dr Noraini Ahmad

Kerajaan Pakatan Harapan harus meneliti hasrat untuk menyemak semula harga air yang dijual kepada Singapura sebanyak 10 kali ganda sejak Perjanjian Air 1962 ditandatangani.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad mengalu-alukan usaha kerajaan PH itu tetapi perjanjian air kedua negara ini harus diselesaikan secara diplomatik.

“Saya mengalu-alukan hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menaikkan harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebanyak 10 kali ganda, berikutan kos sara hidup yang sudah meningkat berbanding ketika perjanjian antara dua negara itu ditandatangani pada 1962.

“Pada waktu ini Singapura membayar 3 sen per 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen per 1,000 gelen.

“Perjanjian dengan negara luar sepatutnya berbeza dengan bekalan air mentah Johor kepada Melaka yang dijual pada harga 30 sen per 1,000 gelen.

“Sepatutnya dengan negara luar, Johor perlu dapat lebih daripada itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, dengan memperoleh asil tambahan itu nanti akan boleh digunakan untuk menampung kos pemantauan sumber sungai dan empangan di Johor.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyatakan hasratnya untuk menyemak semula harga air yang dijual kepada Singapura, menyifatkan harga itu tidak lagi mencerminkan keadaan semasa.

Mahathir pertama kali menyuarakan soal itu selepas kembali menjadi perdana menteri pada 25 Jun lalu, menyifatkan harga semasa itu sebagai “tidak masuk akal”.

Susulan itu, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kerajaan negeri mahu menaikkan harga jualan air mentah itu sekurang-kurangnya pada kadar sama dengan harga kepada Melaka.

Singapura bagaimanapun bertegas menyatakan perjanjian itu perlu dihormati dan tidak berminat untuk menyemaknya.