Sejumlah papan iklan dengan wajah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat memenuhi kiri dan kanan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.
Ucapan tahniah terhadap Ahli Parlimen Arau itu antaranya dikesan di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Ampang.
Susulan itu, rata-rata warganet mempersoal kewajaran pemasangan papan iklan tersebut yang antara lain dianggap membazir.
Orang ramai juga berpendapat ucapan tahniah di kiri kanan itu sebagai keterlaluan dan sama sekali tidak membantu menangani penularan pandemik Covid-19.
Tidak kurang juga ada yang berseloroh dengan menganggap pemasangan papan iklan lengkap tertera wajah Shahidan itu seolah-olah seperti individu yang dikehendaki pihak polis.
“Wanted?,” perli seorang warganet.
Dalam hal berkaitan, Shahidan petang semalam bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah meninjau aktiviti peniaga di Jalan Alor, Bukit Bintang.
“Jalan Alor di Bukit Bintang merupakan antara ‘street food’ yang terkenal di Kuala Lumpur,” kata Shahidan dalam hantaran di Facebook rasminya.
Bulan lalu, Shahidan antara tiga bekas menteri pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang dilantik semula memegang jawatan dalam Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selain Shahidan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerajui Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Satu lagi nama pemimpin veteran Umno ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.