Malaysia Dateline

Warda bukan bersaing dengan Awan

Perwakilan Wanita Muda AMANAH (Warda), Sharon Teo Siew Hui menegaskan penubuhan sayap parti itu bukan bersaing dengan Wanita (Awan) atau bergabung dengan Pemuda.

“Kami muncul berdiri sendiri untuk menyampaikan misi sebagai parti masa depan dan parti anak muda,” tegasnya dalam perbahasan Pidato Presiden di Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh hari ini.

Menurutnya, proses pembinaan pemimpin perlu dilakukan secara menyeluruh selari dengan tema konvensyen tahunan kali ketiga, ‘Menggalas Amanah Membina Negara’.

Sehubungan itu, beliau menyeru penubuhan Warda di peringkat negeri dan kawasan dalam usaha meraikan idea golongan muda.

Sharon turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan AMANAH Pahang dan Melaka kerana menubuhkan sayap Warda.

Sementara itu, Timbalan Speaker AMANAH, Yuhaizad Abdullah memaklumkan Warda masih berstatus pendaftaran dengan kehadiran sayap itu dalam konvensyen tersebut sebagai pemerhati khas.

“Tidak ada pelanggaran perlembagaan parti kerana Warda tidak boleh mengundi pada perbahasan usul,” katanya lagi.

Sharon Teo Siew Hui