Malaysia Dateline

WARDA puji Dr Amalina perbetul petua air suam Menteri Kesihatan

Susulan tindakan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri yang memberi penjelasan berhubung petua air suam Menteri Kesihatan, Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional menegur agar Datuk Seri Dr Adham Baba lebih berhati-hati dalam mengeluarkan tips kesihatan kepada rakyat.

WARDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, ianya amat penting lebih-lebih lagi dalam keadaan negara dilanda ancaman Covid-19 yang memerlukan rakyat dipandu dengan nasihat yang betul.

“Tindakan pantas Dr Amalina yang membetulkan kembali kenyataan melulu Menteri Kesihatan dalam satu temubual stesyen televisyen tempatan wajar dipuji dan disambut baik oleh semua pihak tanpa melibatkan sentimen politik.

“Rakyat perlu dididik dengan ilmu yang benar dan tepat lebih-lebih lagi ketika negara sedang diuji dengan wabak Covid-19 yang boleh membahayakan nyawa.

“Menteri Kesihatan wajarlah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutamanya dalam keadaan yang genting seperti ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Dr Adham mengeluarkan kenyataan yang mengundang kritikan banyak pihak apabila mendakwa virus penyebab Covid-19 boleh dibunuh dengan meminum air panas atau suam.

Tambahnya lagi, mulut dan tekak yang lembap kesan minuman yang diambil akan membantu menurunkan virus itu melalui esofagus dan akhirnya akan dibunuh oleh asid dalam perut.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut disangkal oleh Dr Amalina yang mengatakan bahawa ianya bukan nasihat dari doktor dan tiada bukti disebalik syor berkenaan.

Dr Amalina yang pernah mencipta rekod meraih 17A1 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004 turut menasihati orang ramai untuk mengikuti panduan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut menolak mitos tersebut.