Malaysia Dateline

Warda selar pihak bertindak rakus membelakangkan mandat rakyat

Sebarang bentuk usaha membentuk kerajaan pintu belakang jelas menunjukkan keterdesakan pemimpin yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan politik mereka.

Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA), Nurthaqaffah Nordin, menyelar tindakan beberapa pihak yang dianggap ‘rakus’ sehingga sanggup membelakangkan mandat rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kerakusan ini telah menjejaskan kestabilan politik negara dan membantutkan usaha kerajaan untuk terus fokus berkhidmat untuk rakyat.

“Membelakangkan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden PH ini adalah pengkhianatan yang jelas,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nurthaqaffah lagi, ahli politik dan pemimpin parti seharusnya beringat bahawa rakyat sedang memerhati.

Malah katanya, rakyat menjadi penentu kepada kelangsungan kerajaan dan bukanlah perbincangan meja bulat antara pemimpin yang terdesak untuk mempertahankan kepentingan peribadi masing-masing.