Warga Bangladesh bekerjasama anjur iftar ala Dhaka di masjid, sanggup guna dana sendiri untuk jamu orang ramai

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka keterbukaan Masjid Al-Azim Taman Semarak di Nilai yang mengalu-alukan penglibatan warga Bangladesh dalam menyediakan juadah iftar untuk penduduk setempat, berjaya mengubah persepsi ramai terhadap golongan warga asing.

Melihat kepada jumlah mereka yang ramai, buat tahun ketiga masjid berkenaan memberi peluang kepada komuniti warga asing beragama Islam yang tinggal di Flat Taman Semarak untuk mengadakan majlis berbuka puasa.

Menariknya, mereka yang majoritinya warga Bangladesh mengumpul dana sendiri untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang dimasak secara bergotong-royong untuk dijamu kepada kira-kira 500 jemaah termasuk warga tempatan, lapor Sinar Harian.

Menurut pengerusi masjid, Md Fakarudin Ab Rahman, kebenaran itu bukan bermaksud pihaknya membenarkan warga asing berbuat sesuka hati.

“Jadi tiada istilah mereka ambil alih masjid kerana semuanya dalam kawalan kita dan mereka juga ikut setiap peraturan serta prosedur yang kita tetapkan terutama membabitkan soal kebersihan.

“Niat mereka baik nak mengimarahkan serta meramaikan masjid, sepatutnya kita raikan,” katanya seperti dilapor.

Berkenaan juadah yang disediakan, kata Md Fakarudin, mereka perlulah memasak dan menyediakannya di masjid, bukannya dibawa dari rumah.

Ini kerana ujarnya, ia bagi memudahkan pihak masjid membuat pemantauan.

“Biasalah kita agak skeptikal terhadap warga asing yang dilihat kurang mementingkan aspek kebersihan, jadi sebab itu kita tak benarkan mereka masak dari rumah.

“Tapi sebenarnya sejak kita dekati mereka, kita nampak yang mereka mula memahami budaya hidup orang kita yang mementingkan kebersihan dan nampaknya mereka boleh ikut, tiada lagi bau kurang menyenangkan,” katanya.

Baca juga: “Terkejut beruk masuk rumah mak suami, bukan main bergaya tapi bilik macam sarang tikus”